Penternak Muslim antara syarat pengasas Imane Botanica hasilkan produk kecantikan berasaskan lemak buah pinggang lembu


  • Bisnes
  • Khamis, 04 Sep 2025

Pasangan yang merupakan pengasas Imane Botanica mengambil langkah untuk tidak mendedahkan wajah mereka.

SELAIN bahan organik daripada tumbuh-tumbuhan, penggunaan sumber haiwan juga mendapat tempat dalam penghasilan produk kecantikan.

Antara haiwan yang sering kali digunakan adalah ikan, lebah dan siput yang dipercayai dapat memberi pelbagai manfaat kepada kulit.

Namun, ramai tidak menyangka bahawa lemak buah pinggang lembu juga antara bahan organik terkenal dalam pembuatan produk kecantikan.

BACA LAGI: Setiap reka bentuk produk ada makna di sebaliknya, jenama tempatan semakin memilih konsep fesyen lestari

BACA LAGI: Selain Hannah Yeoh, 4 menteri wanita milik kelebihan dan berdepan tugas besar

Lemak di dalam badan lembu juga antara bahan yang digunakan dalam produk kecantikan.

Walaupun ia masih baru untuk diperkenalkan dalam pasaran Malaysia, tetapi penggunaannya digunakan secara meluas di negara Eropah.

Menjadi antara yang terawal menghasilkan produk kecantikan berasaskan bahan sama, Imane Botanica mengorak langkah berani memasuki industri tersebut.

Bermula daripada sekadar ikhtiar untuk menyelesaikan masalah kulit yang dihadapi anaknya, kini ia menjadi antara peneraju utama dalam perniagaannya.

Pengasasnya, Muhammad Zahirrudin Zakaria, 37, yang menjalankan perniagaan bersama isterinya, Wan Shazrin Iman Wan Perwira, 26.

“Kami pada awalnya cuba cari alternatif untuk cari produk yang sesuai pulihkan kulit anak kami.

“Kemudian kami tengok produk lemak buah pinggang lembu ini dah popular di Amerika Syarikat (AS). 

“Daripada situ kami dapat idea untuk hasilkan sendiri dan mula cuba buat sampel,” katanya kepada Majoriti.

Produk utama Imance Botanica yang menggunakan bahan organik daripada lemak buah pinggang lembu.

Tidak seperti pengusaha lain yang menggunakan campuran pelbagai jenis lemak, Imane Botanica memilih hanya menggunakan lemak yang terletak di sekitar buah pinggang lembu atau dipanggil sebagai lemak suet.

Kata bapa kepada empat orang anak itu, seekor lembu hanya menghasilkan satu hingga dua kilo sahaja lemak suet.

“Itulah yang menjadikan produk kami premium sebab kaya dengan nutrisi dan sangat halus dengan struktur kulit manusia.

Lemak khusus yang diambil dari buah pinggang lembu yang memberi manfaat kepada kulit manusia.

“Kemudian, kami cuba olah dengan hanya tambah minyak jojoba dan minyak pati organik seperti lavender.

“Proses ini juga memastikan produk tidak berbau hanyir sebaliknya lebih lembut seperti bau susu,” jelasnya.

Muhammad Zahirrudin yang juga sedang bekerja sebagai guru sekolah pondok dan tenaga pengajar di bawah Majlis Agama Islam Perlis itu turut menitikberatkan hukum Islam di dalam penghasilan produknya.

Menurutnya, hukum menggunakan bahan tersebut tidak jatuh haram selagi ia dimanfaatkan dengan cara yang betul.

Lemak yang diproses sebelum dibungkus dan dijual.

“Pertama sekali kita tak makan benda itu. Kemudian, lemaknya kami ambil daripada lembu tempatan.

“Kami pastikan lembu tersebut diternak oleh individu Muslim, jadi cara penyembelihannya boleh dijamin mengikut panduan Islam.

“Kami juga tidak ambil lembu import atas beberapa faktor kerana nak jamin kualitinya.

“Bukan itu sahaja, walaupun bisnes saya baru sahaja dijalankan tidak lebih sebulan dan baru beroperasi di rumah, segala proses sentiasa dipastikan selamat, bersih dan mematuhi Standard Operation Procuder (SOP) seperti pengendalian makanan,” ujarnya.

Setakat ini, operasi perniagaannya juga dilakukan sepenuhnya di rumahnya yang terletak di Perlis.

Katanya lagi, modal yang digunakan untuk membeli mesin juga diambil daripada wang gajinya sedikit demi sedikit.

Antara rangkaian produk yang dihasilkan khusus untuk kegunaan pada kulit bayi atau kanak-kanak. 

Setiap mesin juga dibeli secara perlahan selepas menerima gaji dan mengambil keputusan untuk tidak membuat sebarang pinjaman peribadi mahu pun menerusi bank.

Kini, Imane Botanica menawarkan lima jenis rangkaian produk.

Ia terdiri daripada keperluan bayi, kosmetik bagi wanita serta kegunaan umum. 

Harganya pula dipasarkan bermula serendah RM19.90 bagi saiz percubaan sebanyak 7 gram (g) sehingga RM49.90 bagi saiz besar iaitu 50g satu bekas.

Pasangan itu juga kini dalam fasa percubaan dengan mengambil tempoh selama enam bulan untuk melihat perkembangan bisnes mereka.

“Kami ada perancangan untuk meluaskan lagi pasaran sehingga ke Singapura dan Indonesia, Insya-ALLAH,” ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram