
USAHAWAN dan personaliti media sosial terkenal, Datuk Seri Aliff Syukri dan isterinya, Datin Seri Shahida sekali lagi mencuri perhatian ramai baru-baru ini.
Menerusi video tular sejak Jumaat, pasangan suami isteri itu menerima pujian apabila dilihat memberi tazkirah mendalam kepada lima orang anaknya selepas menunaikan solat berjemaah.
Dalam video sama, Aliff memainkan peranan sebagai bapa menasihati kesemua anaknya untuk sentiasa bersederhana dalam melakukan sesuatu perkara meskipun dibesarkan dalam keluarga yang serba mewah.
BACA LAGI: Tidur di dalam bilik gelap tanpa cahaya lampu bagus atau tak untuk kesihatan?
"Jangan rasa perasan jadi anak orang kaya, bila rasa begitu, kita ego dan boros.
"Duit yang ada itu simpan. Esok nanti tak mustahil kalau abah susah. Jadi, berjimat cermat untuk persiapan hari tua.
"Abah pun tak nak menyusahkan kamu, anak pun ada kehidupan sendiri," jelasnya.
Pasangan itu turut menekankan kepentingan agar sentias merendah diri, menjaga amal ibadah dan tidak lalai dengan keseronokan dunia.
"Abah mampu hantar sekolah mahal, sediakan pemandu peribadi, pembantu rumah, tetapi abah tak boleh jadikan kamu anak soleh dan solehah.
"Itu semua bergantung pada diri kamu sendiri. Abah hanya mampu berusaha dan berdoa.
"Abah nak anak-anak jadi orang yang hebat, ada agama, mendengar cakap.
"Sebab itu abah nak, suatu hari nanti kalau abah meninggal, kamu sembahyangkan, kebumikan abah," katanya.
Aliff pada masa sama menasihatkan anak-anaknya agar tidak terjebak dengan gejala sosial ketika usia remaja.
"Kalau keluar malam sekalipun, jangan tipu. Abah bagi izin, tetapi beritahu.
"Ingat, orang yang bahagia itu orang yang ada kasih sayang dalam keluarga," pesannya.
Dalam pada itu, Shahida turut berkongsi pengalaman dirinya ketika remaja yang sering memberontak bila dimarahi ibu bapa, namun akhirnya menyedari teguran keras itu adalah tanda kasih sayang.
Katanya, setiap teguran baik secara lembut atau kasar daripada ibu bapa semestinya demi kebaikan anak.
"Hati kita waktu remaja rasa semua tak betul. Fikir macam ini, kalau abah marah bukan maksud benci, tetapi nak jadi anak yang baik," titipnya.
Meskipun terpalit dengan pelbagai kontroversi, didikan pasangan tersebut sebagai ibu bapa tetap menjadi contoh dan teladan yang baik. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram