
MYDIN akan melanjutkan waktu operasi sehingga 1 pagi hujung minggu ini bagi mengurangkan kesesakan pembeli yang mahu menebus penghargaan dan bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) RM100, kata Pengarah Urusannya, Datuk Ameer Ali Mydin.
Beliau berkata, langkah itu diambil untuk mengelakkan pembeli beratur panjang dan gangguan sistem yang disebabkan oleh penggunaan tinggi pada waktu puncak di kesemua 50 cawangan Mydin.
“Gangguan sistem berlaku kerana semua orang cuba menggunakannya serentak. Ada pelanggan yang terpaksa beratur dua hingga tiga jam semata-mata hanya untuk menebus bantuan SARA mereka,” katanya kepada media di cawangan Mydin Subang Jaya.
BACA LAGI: Kasihan penerima STR bulanan kena 'berebut' tebus SARA gara-gara MyKasih offline
BACA LAGI: Transaksi SARA naik 4 kali ganda, perbelanjaan cecah RM192.4 juta seluruh negara
Memandangkan cuti hujung minggu yang panjang akan datang, Ameer Ali berkata, pihaknya menjangkakan kehadiran pelanggan akan bertambah ramai.
“Untuk menguruskan keadaan ini, cawangan akan dibuka pada pukul 7 pagi dan ditutup pada pukul 1 pagi,” katanya.
Beliau menambah bahawa Mydin merancang untuk membuka lebih banyak kaunter bagi transaksi SARA sekiranya penyedia sistem MyKasih dapat menstabilkan platform tersebut.
“Pada masa ini, kami mempunyai lima terminal. Penambahan bilangan terminal dan pelanjutan waktu operasi akan mengurangkan kelewatan sistem serta mempercepatkan barisan,” kata Ameer Ali.
Sementara itu, pasar raya Econ Save juga dilaporkan akan melanjutkan tempoh operasi dari 7 pagi hingga 12 tengah malam bermula Khamis (4 September) hingga Ahad (7 September).
Pada Rabu, dilaporkan lebih 2.9 juta rakyat Malaysia membeli barangan keperluan menggunakan bantuan RM100 SARA dengan jumlah perbelanjaan mencecah RM192.4 juta di seluruh negara dalam tempoh tiga hari pertama pelaksanaannya.
Kementerian Kewangan terdahulu memaklumkan akan menambah baik dan mempertingkatkan kapasiti pemprosesan MyKasih daripada 5,000 kepada 15,000 kuiri seminit bagi memastikan kelancaran sistem.
Menerusi satu kenyataan, MOF menjelaskan, sistem itu dinaik taraf bagi memenuhi peningkatan hampir empat kali ganda berbanding kapasiti puncak sebelum ini.
Secara keseluruhan sejak pelaksanaan Penghargaan SARA pada 31 Ogos 2025, lebih 4.8 juta rakyat telah membeli barangan keperluan asas menggunakan kredit Penghargaan SARA dan SARA dengan jumlah perbelanjaan rakyat mencecah RM312.6 juta di seluruh negara. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram