Kawasaki Ninja, skuter Yamaha XMax antara 'kapcai' bawah 250cc boleh dimiliki melalui Motorbike Loan Boost Bank


  • Bisnes
  • Khamis, 04 Sep 2025

Motorbike Loan Boost Bank menawarkan ketelusan dari segi yuran dan caj, membantu pelanggan merancang dan membuat keputusan pembelian yang lebih tepat.

BANK digital, Boost Bank memperkenalkan pembiayaan motosikal (hire-purchase) secara digital pertama di Malaysia dikenali sebagai Motorbike Loan.

Produk tersebut menawarkan pembiayaan sehingga 90 peratus daripada nilai jualan motosikal baharu jenis moped (kapcai) dengan kapasiti enjin di bawah 250cc. 

Pembiayaan boleh dibuat dengan tempoh pinjaman sehingga lima tahun pada kadar faedah tahunan tetap sehingga 10 peratus.

BACA LAGI: Mydin lanjut operasi sampai 1 pagi mudahkan pelanggan tebus SARA RM100

BACA LAGI: Kasihan penerima STR bulanan kena 'berebut' tebus SARA gara-gara MyKasih offline

Yamaha XMax 250.

Terdapat 62 model motosikal bawah 250cc di pasaran Malaysia ketika ini termasuk jenama seperti Modenas, QJ Motor, GPX, dan Yamaha. 

Antara model motosikal bawah 250cc yang paling popular dalam kalangan pengguna ialah Yamaha XMax 250, Wmoto RT3, Yamaha YZF-R25, Honda CBR250RR dan Kawasaki Ninja 250, berdasarkan laman web Zigwheels.my.

Berdasarkan semakan melalui ruangan FAQ Boost Bank, pemohon mestilah warganegara Malaysia berumur antara 18 hingga 60 tahun dengan pendapatan bulanan minimum sebanyak RM1,500.

Permohonan tidak memerlukan penjamin namun insurans wajib dikekalkan sepanjang tempoh pembiayaan. 

Dalam satu kenyataan, Boost Bank menjelaskan bahawa permohonan akan diproses menggunakan enjin kelulusan berasaskan kecerdasan buatan (AI), membolehkan proses pembayaran lebih cepat berbanding pemberi pinjaman tradisional.

Motorbike Loan juga menawarkan ketelusan dari segi yuran dan caj, membantu pelanggan merancang dan membuat keputusan pembelian yang lebih tepat.

Berikut senarai harga motosikal moped (kapcai) di bawah 250cc bagi tahun 2025: 

Yamaha XMax 250 (RM 24,888)

Yamaha YZF-R25 (RM 19,464)

Honda CBR250RR (RM 27,999)

Kawasaki Ninja 250 (RM 23,071)

Yamaha MT-25 (RM 21,500)

Modenas Elegan 250 (RM 12,830)

Kawasaki Ninja 250 SL (RM 16,689)

Honda CB250R (RM 23,999)

KTM 250 Duke (RM 22,500)

Untuk membantu pelanggan mengurus pinjaman dengan yakin, bayaran balik dibuat secara automatik melalui debit langsung (direct debit) menggunakan aplikasi Boost Bank.

Pelanggan boleh memantau status bayaran dan mengakses penyata digital tahunan.

Ketua Pegawai Eksekutif Boost Bank, Fozia Amanulla berkata, mobiliti adalah pemangkin utama peluang dan sumber pendapatan buat pembeli kenderaan kali pertama, pekerja gig dan pengguna harian.

Sementara itu, pengasas bersama dan ketua pegawai risiko DCAP Digital, Wilson Kok berkata, Motorbike Loan dikuasakan oleh enjin kredit proprietari yang menyediakan pengalaman pembiayaan lancar serta mudah diakses.

"Dengan kepakaran mendalam dalam pasaran motosikal dan komitmen terhadap inovasi, kami berbangga dapat menetapkan penanda aras baru dalam pembiayaan mobiliti yang membolehkan lebih ramai rakyat Malaysia bergerak di jalan raya,” katanya.

Motorbike Loan dibangunkan dengan kerjasama DCAP Digital Sdn Bhd, platform pinjaman sebagai perkhidmatan (LaaS) yang dikuasakan oleh AI.

Produk itu tersedia di pengedar motosikal terpilih di seluruh negara, dengan rancangan untuk memperluaskan rangkaian ke seluruh Semenanjung Malaysia beberapa bulan akan datang.

Boost Bank adalah bank digital tempatan yang disokong oleh Kumpulan Axiata Bhd dan RHB Bank Bhd. — Majoriti 

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram