[VIDEO] 'Janji manismu buatkan diabetes', ratusan wanita Indonesia turun ke jalan bawa penyapu, simbolik desakan bersihkan negara dari rasuah


  • Maya
  • Khamis, 04 Sep 2025

Ratusan wanita berpakaian merah jambu berhimpun di Jakarta, Indonesia pada Rabu sebagai tanda bantahan terhadap keistimewaan ahli politik dan kekerasan pihak berkuasa.

RATUSAN wanita berpakaian merah jambu berhimpun di Jakarta, Indonesia pada Rabu sambil mengangkat penyapu sebagai tanda bantahan terhadap keistimewaan ahli politik dan kekerasan pihak berkuasa.

Protes itu diadakan ketika Presiden Indonesia, Prabowo Subianto berada di China untuk menghadiri perbarisan ketenteraan, walaupun negara sedang bergolak dengan demonstrasi rakyat.

Antara sepanduk dibawa tertulis mesej seperti 'reformasi polis' dan 'janji manismu menyebabkan diabetes' yang menjadi sindiran terhadap kerajaan yang dianggap gagal menunaikan janji.

BACA LAGI: ‘Rindu sebatas al-Fatihah’, wanita kenang lambaian terakhir arwah suami sebelum meninggal, menanti tempoh iddah berakhir

BACA LAGI: Ketahui kesannya bila anak berasa dipinggirkan, implikasi akibat ibu bapa pilih kasih

Menurut penganjur, penyapu itu menjadi simbol untuk membersihkan negara daripada rasuah, salah guna kuasa dan kekerasan pihak berkuasa.

Gelombang demonstrasi bermula minggu lalu dan semakin besar selepas seorang pemandu ojek maut dirempuh kenderaan polis pada Khamis malam.

Disebabkan bimbang kekerasan pihak berkuasa, penganjur membatalkan perhimpunan pada Isnin.

Namun, mereka kembali pada Rabu dengan tujuan menunjukkan bahawa bantahan rakyat boleh berlangsung secara aman.

“Kami mahu buktikan bahawa majoriti protes ini damai.

“Kalau kerajaan anggap protes sebagai pengkhianatan, itu patut dipersoalkan,” kata Rizky Ananda, 30, yang menyertai perhimpunan menentang keganasan terhadap orang awam, khususnya wanita serta pembaziran perbelanjaan kerajaan.

Reaksi Presiden dan desakan hak asasi

Presiden Prabowo sebelum ini menegaskan tentera dan polis akan bertindak tegas terhadap sebarang keganasan, malah mendakwa ada tanda-tanda keganasan dan pengkhianatan dalam protes tersebut.

Beliau pada mulanya membatalkan lawatan ke China, namun pejabat Presiden kemudian memaklumkan keputusan berlepas dibuat selepas melihat tanda-tanda keadaan kembali normal di Indonesia.

Sementara itu, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Nasional (Komnas HAM) sedang menyiasat tindakan pihak keselamatan dalam mengendalikan protes.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) turut menggesa siasatan bebas dan telus dijalankan terhadap semua dakwaan pencabulan hak asasi manusia, termasuk penggunaan kekerasan oleh pasukan keselamatan.  — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram