
MAHKAHMAH Tinggi Kota Kinabalu, Sabah telah mengetepikan keputusan Mahkamah Koroner yang sebelum ini membenarkan peguam kepada lima remaja yang didakwa terlibat dalam kes buli menjadi pihak berkepentingan dalam inkues kematian Zara Qairina Mahathir.
Bagaimanapun, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Duncan Sikodol berkata, peguam bagi remaja terbabit boleh mengemukakan permohonan baharu kepada Koroner Amir Shah Amir Hassa selepas Koroner terdahulu, Azreena Aziz menarik diri daripada mengendalikan prosiding itu.
Keputusan Hakim Sikodol pada Selasa (2 September) itu dibuat selepas peguam kepada ibu Zara, Noraidah Lamat memohon untuk mengetepikan keputusan Koroner pada 28 Ogos lalu yang membenarkan pasukan guaman remaja terbabit menjadi pihak berkepentingan dalam inkues tersebut.
Permohonan semakan terhadap keputusan Koroner Azreena itu difailkan oleh pasukan guaman keluarga Zara serta Persatuan Undang-Undang Sabah (Sabah Law Society, SLS).
Salah seorang peguam pasukan guaman remaja terbabit, Datuk Ram Singh berkata, mereka akan mengemukakan permohonan baharu untuk menjadi pihak berkepentingan dalam inkues yang dijadual bermula pada Rabu (3 September) di hadapan Koroner Amir Shah.
Menurutnya, kehadiran mereka sebagai pihak berkepentingan membolehkan pasukan guaman itu menyoal saksi-saksi, termasuk ibu mangsa sendiri.
Dalam penghakimannya selepas mendengar hujahan pihak-pihak terlibat, Hakim Sikodol berkata: "Segala perintah yang dibuat berhubung apa-apa permohonan dalam inkues tersebut adalah diketepikan. Pihak-pihak bebas untuk memperbaharui permohonan mereka di hadapan koroner baharu."
Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu.
Hakim Sikodol menjelaskan bahawa Koroner Azreena mengeluarkan perintah membenarkan pasukan guaman remaja berkenaan untuk mengambil bahagian sebagai pihak berkepentingan dalam prosiding inkues sejurus selepas menarik diri atas alasan mempunyai kepentingan peribadi dalam kes itu.
Menurutnya, keputusan melibatkan isu substantif sepatutnya diserahkan kepada Koroner baharu kerana tindakan sebaliknya boleh dianggap membuat keputusan bagi pihak pengganti dan menjejaskan prinsip berkecuali.
Selain itu, Hakim Sikodol turut menolak bantahan yang dibangkitkan oleh timbalan pendakwa raya berhubung kehadiran Persatuan Undang-Undang Sabah dalam prosiding inkues berkenaan. — The Star/MUGUNTAN VANAR
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram