Kes Zara: KPM wajar teliti keperluan tindakan undang-undang terhadap pengetua, Pengarah Pendidikan Sabah — Azalina


  • Massa
  • Selasa, 26 Ogos 2025

Pada 16 Julai lalu, Zara Qairina ditemui tidak sedarkan diri di longkang berhampiran asramanya di Papar.

KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) perlu meneliti sama ada wujud keperluan untuk membawa pengetua sekolah atau Pengarah Pendidikan negeri ke mahkamah berhubung kematian Zara Qairina Mahathir, kata Datuk Seri Azalina Othman Said.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) itu berkata, bukan bidangnya untuk mengulas lanjut kerana perkara itu masih dalam prosiding mahkamah dan boleh dianggap sebagai subjudis.

"Namun begitu, saya percaya di negara kita terdapat banyak undang-undang dan saya fikir perkara ini perlu diserahkan kepada sistem, khususnya kementerian, untuk menelitinya," katanya selepas melancarkan Justice of Wheels Van di Putatan, Sabah pada Selasa (26 Ogos).

BACA LAGI: Intan Najuwa, Che Ta desak keadilan Zara Qairina tanpa pilih kasih, salah perlu dihukum

BACA LAGI: Bukan calang-calang TPR wakili Zara Qairina, Nor Azizah juga kendali kes adik Bella, Ebit Liew

Azalina berkata demikian ketika ditanya mengenai desakan supaya pengetua sekolah dan Pengarah Pendidikan negeri dipertanggungjawabkan berhubung cara kes itu ditangani pada peringkat awal.

Pengguna media sosial masih melahirkan rasa tidak puas hati terhadap cara isu tersebut ditangani dan mempersoalkan mengapa pihak pengurusan sekolah, termasuk pengetua, warden asrama dan guru, tidak dipertanggungjawabkan.

Mereka turut mempersoalkan mengapa Jabatan Pendidikan Sabah berdiam diri.

"Saya tidak boleh ulas banyak kerana tidak mempunyai fakta yang mencukupi," tegas Azalina.

Pada 16 Julai lalu, Zara Qairina yang merupakan pelajar berusia 13 tahun ditemui tidak sedarkan diri di longkang berhampiran asramanya di Papar dan meninggal dunia sehari kemudian di hospital.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said.

Jenazahnya segera dikebumikan dan kes tersebut pada awalnya senyap, namun mendapat perhatian selepas keluarga dan netizen membangkitkan persoalan tentang punca kematiannya yang pada awalnya diklasifikasikan sebagai mati mengejut tanpa bedah siasat dijalankan.

Selepas desakan orang ramai menuntut keadilan untuk Zara Qairina dan permohonan peguam keluarga, Hamid Ismail, supaya mayatnya digali semula bagi tujuan inkues, barulah Jabatan Peguam Negara (AGC) campur tangan dan siasatan lebih serius dilakukan.

Tiga pegawai kanan polis kemudian disiasat, manakala seramai 195 individu telah dipanggil untuk dirakam keterangan setakat ini.

Di seluruh negara, gerakan solidariti berbentuk perhimpunan aman turut dianjurkan.

Inkues berhubung kes itu dijadual bermula pada 3 September, sementara lima remaja perempuan telah didakwa pada 20 Ogos lalu kerana menghina Zara Qairina dengan kata-kata kesat.

Jabatan Peguam Negara.

Terdahulu pada majlis itu, Azalina menegaskan kepentingan pelajar, guru dan ibu bapa mengetahui hak perundangan mereka serta mempunyai pengetahuan mencukupi mengenai hak dan tanggungjawab masing-masing.

Beliau memberi contoh mengenai kesalahan seksual terhadap kanak-kanak, di mana Seksyen 19 Akta berkaitan mewajibkan mana-mana individu membuat laporan polis sekiranya mengetahui tentang kejadian seumpamanya.

"Kalau kita sendiri tidak tahu hak kita, bagaimana undang-undang yang digubal, walaupun baik, boleh dilaksanakan dengan berkesan?," soalnya. The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram