Peguam bela bawa patung, bantu pakar patologi tunjuk kecederaan Zara Qairina


  • Kes
  • Khamis, 04 Sep 2025

Tindakan Ram Singh (dua dari kanan) membawa patung itu mencuri perhatian di Mahkamah Koroner Kota Kinabalu.

PEGUAM bela salah seorang dari lima remaja yang dituduh atas kes kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir mencuri perhatian di Mahkamah Koroner Kota Kinabalu, Sabah pada Khamis apabila membawa sebuah patung.

Patung berkenaan dibawa bagi membantu Pakar Patologi Hospital Queen Elizabeth (HQE), Dr Jessie Hiu menunjukkan kedudukan serta kecederaan pada tubuh mangsa pada prosiding hari kedua inkues kematiannya.

Dr Jessie dijangka menyambung keterangannya dengan menjawab pertanyaan Pegawai Pengendali dari Jabatan Peguam Negara (AGC), selain soalan pihak berkepentingan termasuk ibu dan bapa arwah melalui peguam masing-masing.

BACA LAGI: Zara Qairina tidak jatuh secara sengaja atau ditolak — Pakar patologi

BACA LAGI: Inkues Zara Qairina: Mahkamah koroner benarkan peguam remaja dituduh jadi pihak berkepentingan

Zara Qairina (kanan) ditemukan dalam keadaan tidak menyedarkan diri di sebuah longkang pada 16 Julai lalu.

Pada Rabu, Dr Jessie memberitahu mahkamah, hasil pemeriksaan mendapati kecederaan dialami arwah adalah konsisten dengan jatuh dari tempat tinggi.

Dia juga menegaskan, tidak mungkin arwah jatuh secara tidak sengaja atau ditolak dari koridor tingkat tiga bangunan asrama sekolahnya sebelum ditemui tidak sedarkan diri di bawah bangunan itu pada awal pagi 16 Julai lalu.

Arwah kemudiannya dibawa ke HQE sebelum disahkan meninggal dunia pada keesokan harinya dengan kematiannya menimbulkan pelbagai spekulasi apabila orang ramai menuntut keadilan.

20 Ogos lalu, lima remaja yang juga menetap di asrama berkenaan sudah didakwa di Mahkamah Kanak-Kanak atas pertuduhan membuli Zara Qairina. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram