
SETIAP hasil seni yang dihasilkan bukanlah visual semata, tetapi mencerminkan sesebuah identiti.
Begitu juga dengan karya pelukis tempatan, Izzati Afiqah Che Suza atau lebih dikenali sebagai Izzati Suza yang sering mengetengahkan ciri-ciri Malaysia dengan caranya tersendiri.
Terkenal dengan rekaan artistik dan elemen lucu bersahaja, karya wanita berusia 30 tahun itu tidak pernah gagal menjentik hati para peminat seni.
Izzati mula menceburi bidang seni sejak 2017. — Izzati Suza
Kata Izzati, penggunaan motif bibir tebal dan karakter santai berselipar Jepun, ia sudah cukup menyuntik elemen humor tanpa meninggalkan identiti masyarakat Malaysia.
"Saya bawa pengalaman hidup yang lebih moden seiring dengan zaman sekarang, jadi orang ramai boleh kaitkan.
"Bagi saya, motif durian, nasi lemak dalam karya saya mampu bawa seni Malaysia ke mata dunia.
"Sama seperti artis visual Amerika Syarikat, Andy Warhol yang hasilkan seni sup tomato sampai orang boleh ingat.
"Jadi, sebab itu saya mula buat parodi seni guna barang Malaysia seperti roti, gula-gula klasik, Yoko Yoko dan sebagainya," katanya kepada Majoriti.
Kemeja-T hasil rekaan Izzati dengan karakter nasi lemak digayakan penyanyi terkenal Korea Selatan, Sandara Park. — Izzati Suza
Pendekatan pop-art dengan suntikan budaya tempatan itu terbukti berjaya apabila karyanya kini mendapat perhatian pembeli antarabangsa, termasuk kolaborasi dalam bentuk t-shirt bersama jenama luar negara.
"Apabila orang beli sebab mereka suka gaya itu, bukan sebab ikut trend luar, saya rasa sangat bangga.
"Tak perlu jadi orang lain. Kita kena tunjuk identiti kita sendiri yang suka pakai kain batik atau jalan pakai selipar," jelasnya.
Izzati pada masa sama menekankan kepentingan identiti asli dalam berkarya.
Karya yang mengetengahkan elemen humor sambil menyerlahkan identiti Malaysia.
Izzati dalam pada itu berkongsi pencapaian terbesarnya sepanjang lebih lima tahun berkecimpung dalam bidang seni itu.
"Sempena Hari Kebangsaan ini, saya juga ada hasilkan mural bersama dua kawan artis iaitu Kartini dan Rinli.
"Kami buat mural dengan karakter berasaskan Malaysia seperti tolak kereta beramai-ramai dan makan di satu meja dengan pelbagai bangsa di tengah-tengah pusat beli-belah di Kuala Lumpur," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram