Ungkapan 'I love you' di dalam lif, penghantar makanan berjaya pikat hati guru


  • Cinta
  • Isnin, 01 Sep 2025

Kisah percintaan Liu dan Hannah menarik perhatian warga maya di media sosial. — Agensi

KISAH percintaan seorang penghantar makanan dan guru mencuri perhatian ramai baru-baru ini.

Berdasarkan laporan agensi, lelaki bernama Liu, 27, dari Shenyang, China berkongsi kisah sebelum mengahwini isterinya yang merupakan warga Amerika Syarikat (AS).

Kata Liu, detik awal percintaannya bermula selepas mengungkapkan ucapan I love you kepada wanita itu ketika menghantar pesanan mi.

BACA LAGI: Tidur di dalam bilik gelap tanpa cahaya lampu bagus atau tak untuk kesihatan?

BACA LAGI: [VIDEO] Hasrat sambut Hari Kebangsaan terbantut, bapa tenang tangani anak kembar autisme mengamuk di kedai makan

Liu (kanan) melangsungkan perkahwinannya dengan Hannah (kiri) di China pada Januari lalu. — Agensi

Liu juga mendedahkan beliau mengahwini isterinya, Hannah Harris lima bulan kemudian.

Bercerita lebih lanjut, Hannah berpindah dari AS dan bertugas sebagai guru di sebuah tadika di Shenyang sejak awal Ogos lalu.

Pertemuan pertama kali mereka berdua juga adalah pada November 2024 ketika menghantar semangkuk mi yang dipesan oleh Hannah.

"Semasa menghantar makanan, kami terserempak di dalam lif.

"Saya tidak tahu berbahasa Inggeris, jadi saya hanya berkata, 'Hello, saya sayang awak'.

"Dia ketawa apabila mendengarnya," kata Liu.

Mereka kemudiannya bertukar maklumat selepas pertemuan itu.

Hannah juga ingin mengenali Liu dengan lebih dekat untuk belajar bahasa Cina sambil mengajar bahasa Inggeris.

Katanya, mereka kerap berhubung dan mempunyai banyak persamaan termasuk cinta terhadap haiwan, makanan lazat dan bersukan.

Selepas meluahkan perasaan masing-masing, Hannah sering menghabiskan waktu untuk menyertau pelbagai program bersama Liu di sekitar Shenyang.

Pasangan tersebut kerap melakukan aktiviti dan meluangkan masa bersama sebelum berkahwin. — Agensi

Pada Januari lalu, Liu mengambil langkah berani dengan membeli cincin berlian untuk melamar Hannah di stesen keretapi bawah tanah.

"Walaupun kami tidak mengambil masa lama mengenali satu sama lain, saya rasa dia seorang yang baik hati.

"Dialah yang saya cari selama ini," katanya.

Dua bulan kemudian, pasangan itu berkahwin di kampung halaman Liu, dengan kebenaran ibu bapa Hannah.

Liu berkata, statusnya sebagai lelaki daripada keluarga luar bandar yang miskin tanpa rumah atau kereta tidak menghalang cinta dan kasih Hannah.

Meskipun terdapat cabaran dari segi komunikasi, mereka terus berusaha untuk mempelajari bahasa masing-masing di rumah.

"Saya mengimpikan untuk pergi mengembara ke seluruh China bersama, manakala Hannah gemar menulis dan bercita-cita untuk menjadi pengarang.

"Walaupun saya tidak boleh membaca novel Inggeris, saya harap dia boleh menerbitkan novelnya sendiri suatu hari nanti," kata Liu.

"Jika anda mencintai seseorang, katakan dengan kuat," jelasnya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram