Busana warisan Bajau Sama pikat hati juri, pereka Mell Sulaiman pemenang Pertandingan Kostum Nasional Malaysia 2025


  • Gaya
  • Selasa, 02 Sep 2025

Sandra Lim (kanan) menyampaikan Anugerah Pemenang Johan kepada Mell Sulaiman (tengah) bersama rekaannya.

BERSEMPENA sambutan Hari Kebangsaan ke-68, Miss Universe Malaysia Organization (MUMO) dengan kerjasama Persatuan Pentas Anak Seni Malaysia (PPASM) mengumumkan pemenang Pertandingan Pereka Kostum Nasional Malaysia 2025.

Ia juga bakal direka khas bagi gerangan Miss Universe Malaysia edisi ke-74 di Thailand hujung 2025 ini.

Persatuan Pentas Anak Seni Malaysia merupakan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang didedikasikan untuk memelihara, mempromosikan, dan memajukan warisan seni serta kepelbagaian budaya Malaysia.

BACA LAGI: Dulu hanya pos barang waktu rehat, wanita Tawau kini buka empayar bisnes SFJ Beauty dari Sabah ke Semenanjung

BACA LAGI: Ungkapan 'I love you' di dalam lif, penghantar makanan berjaya pikat hati guru

(Enam dari kiri dan seterusnya) rekaan pemenang tempat ketiga; Remy Nana, pemenang tempat ketiga; rekaan pemenang johan; Mell Sulaiman, pemenang johan; Sandra Lim, Miss Universe Malaysia 2024; Charissa Chong, Pengarah Nasional Miss Universe Malaysia Organization (MUMO); Jawed Khan, Pengerusi Persatuan Pentas Anak Seni Malaysia (PPASM); rekaan pemenang naib johan; dan Affendy Ariffin, pemenang naib johan.

Persatuan itu juga giat bekerjasama dengan komuniti, penggiat budaya dan rakan kongsi bagi memastikan tradisi seni Malaysia terus hidup dan relevan untuk generasi akan datang.

Pertandingan yang berlangsung di Sabah International Convention Centre (SICC) pada Isnin.

Majlis tersebut turut dihadiri oleh Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Ts Mustapha Sakmud yang diwakili oleh Setiausaha Sulit kepada Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Rafe’e Jafree serta Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Sabah, Tuan Julinus Jeffery Jimit.

Rekaan pemenang, Mell Sulaiman itu memikat para juri dengan penceritaan berani dan hasil kerja tangannya yang halus.

Diilhamkan oleh keluasan lautan biru dan keindahan seni tradisional, kostum nasional itu menyerlahkan kemegahan warisan Bajau Sama.

Kilauan tona biru-hijau melambangkan kejernihan lautan, manakala corak etnik merah, kuning dan hitam menggambarkan keberanian, kekuatan, serta legasi nenek moyang terdahulu.

Ditambah pula dengan hiasan kepala keemasan berbentuk serimpak pula menjadi simbol maruah dan keanggunan wanita Bajau Sama.

Busana itu turut diperkemaskan dengan manik, perincian emas, dan prop Duang Bajau yang mencerminkan keceriaan serta keindahan budaya tersebut.

Rekaan pemenang oleh Mell Sulaiman diinspirasikan oleh keluasan lautan biru serta keindahan seni tradisional yang memancarkan keagungan warisan Bajau Sama.

Perincian halus pada setiap bahagian kostum menunjukkan dedikasi dan kepakaran pereka dalam menghasilkan karya bertaraf dunia untuk dipersembahkan di pentas antarabangsa.

Dalam pertandingan sama, pusingan Kostum Nasional merupakan antara segmen paling dinantikan, di mana jutaan penonton di seluruh dunia akan menyaksikan rekaan hebat yang mewakili setiap negara.

Pemenang pula dipilih oleh panel juri terkemuka yang terdiri daripada Pengarah Nasional MUMO, Charissa Chong serta Miss Universe Malaysia 2024, Sandra Lim.

"Ini merupakan kali pertama MUMO mengadakan pertandingan rekaan kostum seperti ini.

"Ia bertujuan memberi peluang kepada bakat tempatan untuk menghasilkan kostum nasional yang akan ditampilkan di pentas dunia.

"Pereka yang memenangi pertandingan ini akan bekerjasama rapat dengan MUMO untuk menyediakan kostum nasional yang akan dipersembahkan oleh Miss Universe Malaysia 2025 di pentas Miss Universe ke-74 di Thailand," kata Charissa Chong.

Pada masa sama, barisan pereka berbakat dari seluruh negara mempersembahkan rekaan masing-masing yang berteraskan tekstil dan motif budaya Malaysia.

Setiap rekaan umpama anyaman nilai perpaduan dan ketahanan yang menjadi nilai teras negara.

Selain pertandingan, acara itu turut selari dengan sambutan Hari Kebangsaan Malaysia ke-68 yang menampilkan persembahan budaya, pameran rekaan serta aktiviti komuniti interaktif.

Sandra Lim (kanan) bersama rekaan yang memenangi Pertandingan Pereka Kostum Nasional Malaysia 2025 (kiri).

"Ini bukan sekadar pertandingan, tetapi usaha untuk menceritakan kisah Malaysia kepada dunia.

"Malam ini meraikan pelbagai budaya yang membentuk Malaysia, menunjukkan bagaimana perbezaan kita bergabung untuk membina keharmonian yang unik.

"Melalui setiap persembahan dan rekaan, kita menyajikan kepelbagaian perjalanan negara dan bagaimana ia boleh ditafsir semula dengan kreativiti untuk tatapan dunia," kata Pengerusi PPASM, Jawed Khan.

Pertandingan itu sekali gus membolehkan MUMO dan PPASM menzahirkan sokongan mereka terhadap bakat tempatan sambil mempersembahkan hasil rekaan yang melambangkan kemajuan negara.

Dari Sabah ke pentas Miss Universe di Thailand pada akhir tahun ini, rekaan pemenang akan membawa kisah Malaysia dengan penuh keberanian, inovasi dan kehormatan di hadapan penonton global.

Sementara itu, majlis Malam Gala Miss Universe Malaysia 2025 dijadualkan berlangsung pada 12 September nanti di The Majestic Hotel Kuala Lumpur. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram