Bapa kecewa anak 'straight A' SPM tak layak terima biasiswa, adakah kerana pendapatan isi rumah T20?


  • Bonda
  • Ahad, 31 Ogos 2025

Kisah seorang pelajar cemerlang SPM yang gagal memperoleh biasiswa disebabkan status sosiekonomi ibu bapanya. — Gambar hiasan/AI

SEORANG bapa meluahkan kekecewaan selepas anaknya yang memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) gagal menerima sebarang biasiswa untuk melanjutkan pengajian.

Menerusi perkongsian pengguna Facebook Rizal Asidi baru-baru ini, anaknya, Naufal sebelum ini memperoleh A untuk semua subjek ketika peperiksaan percubaan dengan markah merit sebanyak 98.67 peratus.

Menurutnya, nama anaknya juga tersenarai dalam Pelajar Terbaik Negara (PPN).

BACA LAGI: Menangis sebab comot tak cantik, pengusaha inai tersohor tawar servis 'selamatkan pengantin' di hari bermakna

BACA LAGI: 'Terima kasih ajar erti persahabatan, kasih sayang', kenangan terindah Dr. Mohanad selama 10 tahun tinggal di Malaysia

Keputusan cemerlang yang diperoleh Naufal dalam peperiksaan SPM. — Facebook/Rizal Asidi

Meskipun begitu, status sosioekonominya yang boleh dikatakan tergolong dalam kategori T20 menyukarkan proses tersebut.

"Ada yang kata keputusan SPM macam ini mesti dapat biasiswa dan belajar luar negara.

"Sekarang tidak lagi tuan-tuan. Naufal dah usaha semaksimanya untuk dapat anugerah biasiswa ini.

"Tetapi, status sosioekonomi ibu bapa pula menjadi penentu," tulisnya.

Antara biasiswa yang gagal diperoleh termasuklah Petronas, Yayasan Permodalan Nasional Berhad (PNB), Kijang Emas Bank Negara Malaysia, Yayasan Tenaga Nasional Berhad (TNB), Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (Peneraju), Program Penajaan Pelajar Cemerlang (YTP) MARA serta Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Kekecewaan itu turut lebih dirasai kerana ada permohonan yang gagal sejak peringkat awal tanpa dipanggil temu duga.

Perkongsian yang tular itu bagaimanapun menerima respons balas Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki.

Prihatin terhadap nasib pelajar berkenaan, beliau mengambil langkah untuk menyemak semula pengurusan status itu.

"Insya-ALLAH, saya akan semak dengan pengurusan status pelajar cemerlang ini.

"Boleh bagi maklumat tambahan anakanda mohon di program apa," tulisnya di komen Facebook. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram