
HASRAT sepasang suami isteri untuk meraikan sambutan Hari Kebangsaan pada Ahad lalu terbantut selepas suasana bertukar kecoh di sebuah kedai makan baru-baru ini.
Menerusi video dimuat naik suami tersebut di Facebooknya Kail Kembar, kejadian berlaku apabila seorang daripada anak kembar istimewanya secara tiba-tiba mengamuk sebelum menikmati hidangan.
Menurutnya, ia berlaku selepas mereka selesai membeli ayam gunting kegemaran anak-anaknya di Bandar Seri Putra, Selangor dan singgah ke sebuah restoran masakan panas untuk makan malam.
Katanya, tiada sebarang tanda pelik ditunjukkan seorang daripada kembar bernama Syamil ketika berada di dalam kereta pada awalnya.
"Abah dah pesan siap-siap baru ambil kembar dari dalam kereta ke luar.
"Dalam kereta tak ada tanda mengamuk, sekali bawa turun baru sahaja susun makanan, Syamil terus bangun menjerit dan tendang meja belakang kami.
"Ada dua orang penghantar makanan tengah makan, melambung semua makanan yang ada atas meja, tak sempat halang," tulisnya.
Difahamkan, anak kembarnya juga merupakan kanak-kanak autisme.
Dia bagaimanapun bersyukur apabila seorang lagi anaknya, Syahmi tenang dan tidak membalas tindakan kembarnya di restoran tersebut.
Meskipun terpaksa berdepan dengan situasi tegang, si bapa tetap mengambil langkah untuk memohon maaf kepada semua pelanggan di kawasan tersebut.
"Abah tunggu keadaan reda sedikit, minta maaf dan abah ganti semula makanan mereka.
"Abah panggil orang untuk bungkus semua makanan kami, hilang semua selera.
"Bergenang juga air mata jantan abah, niat nak belanja makan jadi huru-hara," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram