Beg rotan moden, aksesori manik kontemporari pastikan kraf tradisional Sarawak kekal relevan


  • Bisnes
  • Isnin, 01 Sep 2025

Aksesori seperti rantai Bidayuh dengan sentuhan kontemporari antara rekaan Ezra Rejem.

DI seluruh Sarawak, para penggiat seni kraf tangan terus memelihara warisan masyarakat peribumi dengan mengekalkan teknik tradisional sambil menyesuaikan rekaan mereka untuk kegunaan masa kini.

Seorang usahawan kraf etnik Penan, Bawih Tingang, antara yang berjaya memperluas pasaran hasil tangannya dengan menyertai pameran kraf tangan di seluruh negara.

Bawih yang berasal dari perkampungan terpencil Long Iman di Mulu, belajar menganyam bakul rotan sejak kecil.

BACA LAGI: Manik Sarawak cetus minat bekas auditor dari Rawang hasilkan aksesori artisan berjiwa merdeka

BACA LAGI: Kebolehan dipandang sinis, diragui, pelumba wanita muda dari Sarawak ubah landskap perlumbaan bot laju

Bawih mempamerkan kemahiran menganyam rotan untuk dijadikan beg tangan. 

“Menganyam adalah kraf tangan tradisional masyarakat Penan.

“Kami menggunakan bakul anyaman ini dalam kehidupan seharian untuk membawa barangan.

“Sekarang, kami juga boleh menjual bakul ini kepada orang lain,” katanya.

Bawih mula menghasilkan produk anyaman seperti bakul tradisional Penan untuk dijual sejak 2014.

“Selain itu, saya juga hasilkan beg moden yang direka sendiri. Semua orang menyukainya kerana boleh digunakan setiap hari, contohnya sebagai beg tangan,” jelasnya.

Bagi Bawih, menghasilkan bakul dan beg untuk dijual adalah cara untuk memelihara kraf tangan tradisional sambil menjana pendapatan.

“Dengan menjual produk saya, saya dapat memperoleh pendapatan tambahan untuk persekolahan anak-anak dan keperluan dapur,” katanya.

Setiap rekaan beg mengambil masa kira-kira masa empat hari untuk disiapkan. 

Harga setiap hasil anyaman ditentukan mengikut saiz dan rekaannya.

Setiap produk dibuat secara manual, bermula dengan pergi ke hutan untuk mengutip rotan sebelum dicuci dan dibelah menjadi jalur halus.

Ia kemudian diwarnakan dengan pewarna semula jadi bagi memastikan ia tahan lebih lama.

“Proses mengutip dan menyediakan rotan untuk dianyam mengambil masa yang panjang.

“Apabila rotan sudah siap, saya boleh menyiapkan sebuah beg dalam masa empat hari,” kata Bawih.

Kebiasaannya, Bawih menjual hasil anyamannya di pameran kraf tangan di Sarawak dan sekali-sekala di Semenanjung Malaysia atas jemputan Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia.

“Pembeli terdiri daripada penduduk tempatan dan juga pelancong asing. Jika berpeluang, saya ingin belajar menjual produk saya secara dalam talian,” tambahnya.

Ezra menunjukkan rangkaian aksesori daripada manik.

Seorang lagi penggiat kraf tangan ialah Ezra Rejem yang turut menghasilkan rekaan tradisional dan kontemporari.

Wanita Bidayuh dari Kuching itu mula mempelajari pembuatan aksesori daripada manik sebagai hobi selepas bersara sebelum menceburi bidang perniagaan dengan menyertai pameran kraftangan anjuran Kraftangan Malaysia.

“Saya membuat rantai Bidayuh dengan rekaan tradisional menggunakan manik berwarna merah, hitam dan putih, yang masih digemari sebagai aksesori semasa perayaan seperti Gawai.

“Saya juga menghasilkan rekaan kontemporari yang boleh dipakai pada majlis lain, seperti makan malam rasmi,” katanya.

Menurut Ezra, menghasilkan rekaan baharu di samping yang tradisional adalah cara untuk memastikan kraf tangan terus relevan.

“Rekaan moden memenuhi keperluan dan cita rasa masa kini. Dalam masa sama, saya juga mengekalkan seni manik tradisional Bidayuh.

“Penting untuk memastikan kraf tangan ini terus hidup kerana ia sebahagian daripada budaya dan warisan kita,” tambahnya. — The Star/ SHARON LING

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram