[VIDEO] ‘Kasut siap bersusun’, pengemis dan gelandangan jadikan jejantas sebagai rumah, bahayakan wanita waktu malam


  • Massa
  • Selasa, 26 Ogos 2025

Tangkap layar dari video tersebut memaparkan dua orang gelandangan sedang tidur di atas jejantas berkenaan.

ISU pengemis dan gelandangan yang kadang-kala memenuhi kaki lima dan bahu jalan sudah berkali-kali disuarakan orang ramai, terutamanya yang menetap di ibu kota kerana kehadiran mereka mencetuskan kebimbangan terhadap pejalan kaki.

Meskipun rata-rata daripadanya tidak melakukan gangguan, risiko besar masih boleh dihadapi, lebih-lebih lagi terhadap wanita yang melalui bahu jalan atau kaki lima didiami gelandangan pada waktu malam.

Perkara itu disuarakan seorang rakyat prihatan menerusi video dirakam sekitar sebuah hospital swasta di Setapak, Kuala Lumpur (KL) dengan menyatakan bahaya boleh dihadapi pengguna.

BACA LAGI: Pempengaruh beri gelandangan tulang ayam dibebas atas jaminan polis

BACA LAGI: [VIDEO] Beri tulang ayam kepada gelandangan bukan eksperimen sosial — Sam Wong

Rakaman berdurasi kurang dari dua minit itu memaparkan lelaki tersebut menyatakan kehadiran gelandangan boleh mengundang risiko keselamatan, terutamanya buat pelajar wanita yang menggunakan jejantas di kawasan itu.

"Tolong pihak Dewan Bandaraya KL (DBKL) untuk 'bersihkan' kawasan ini. Kawasan ini sering (dilalui) pelajar kolej yang menuntut di hospital swasta berhampiran," katanya.

Dalam video tersebut, kelihatan dua orang gelandangan sedang tidur di atas jejantas tersebut dengan salah seorang daripadanya siap menggunakan kelambu, selain kasut juga tersusun kemas seolah-olah berada di 'rumah'.

Jejantas yang menjadi tempat tidur golongan tersebut menjadi laluan utama buat pengguna yang mahu melintas jalan raya untuk berada di perhentian bas, termasuk dalam kalangan pelajar wanita.

Jejantas dimaksudkan pengguna berkenaan difahamkan terletak sekitar Jalan Genting Klang, KL.

Rakaman itu turut menunjukkan beberapa botol plastik diletakkan berhampiran dipercayai diisi air kencing yang menceritakan kegagalan pihak berkuasa untuk mengambil sebarang tindakan.

"Tempat ini dijadikan ibarat rumah mereka. Jejantas ini terletak sekitar Jalan Genting Klang, KL berhampiran sebuah hospital swasta. Jadi, saya harap DBKL dapat kosongkan dan 'bersihkan' tempat ini," katanya.

Setakat berita ini ditulis, belum ada kenyataan dan tindakan susulan DBKL berhubung aduan berkenaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram