Pempengaruh beri gelandangan tulang ayam dibebas atas jaminan polis


  • Kes
  • Khamis, 07 Ogos 2025

Video dimuat naik pempengaruh tersebut menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan pengguna media sosial.

TIGA individu dipercayai pempengaruh media sosial yang direman pada Selasa bagi membantu siasatan kerana memberi sisa makanan berupa tulang ayam dan nasi kepada gelandangan sudah dibebaskan atas jaminan polis.

Ketua Polis Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, ketiga-tiga mereka yang masing-masing berusia 19, 18 dan 14 tahun dibawa ke Seremban, Negeri Sembilan dari Johor Bahru, Johor untuk dikenakan tahanan reman.

"Mereka sudah dibebaskan selepas kenyataan direkodkan. Ketiga-tiga mereka dari Johor Bahru tetapi kejadian tersebut berlaku di sini (Seremban)," katanya.

BACA LAGI: 'Ini bukan content, ini penghinaan', Mekyun selar tindakan remaja beri sisa tulang ayam kepada gelandangan

BACA LAGI: Bekas doktor ternak lalat, ubah sisa sampah jadi 'emas' makanan haiwan

MCMC sudah merekodkan keterangan daripada ketiga-tiga individu yang terlibat.

Mohamad Hatta berkata, ketiga-tiganya disiasat di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan; Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988.

Dalam video tular berkenaan, mereka pada awalnya makan di sebuah restoran makanan segera sebelum meletakkan tulang ayam ke dalam sebungkus nasi yang turut dibeli di restoran terbabit.

Bungkusan itu kemudiannya diserahkan kepada seorang gelandangan yang sedang tidur di kaki lima dengan dia terkejut selepas membukanya, namun hanya berterima kasih atas pemberian terbabit.

Video itu kemudian mengundang rasa kurang senang dalam kalangan pengguna dengan ketiga-tiganya kemudian memohon maaf dengan menyatakan gelandangan tersebut sudah diberitahu mengenainya.

Selain itu, permohonan maaf itu turut disertakan dengan kenyataan mengatakan gelandangan tersebut sudah diberikan hidangan lengkap mengandungi nasi dan ayam.

Ketiga-tiga individu terbabit kemudian dipanggil Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) di Ibu Pejabat Polis (IPD) Iskandar Puteri untuk memberi keterangan.

Suruhanjaya tersebut turut merampas tiga telefon pintar serta tiga kad SIM selain menyatakan video tersebut mengundang kemarahan kerana menyentuh isu sensitif. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram