
MENTERI Pendidikan, Fadhlina Sidek memberi jaminan siasatan menyeluruh akan dijalankan berhubung kes seorang pelajar Tingkatan Tiga yang kini berada dalam keadaan kritikal selepas disyaki menjadi mangsa buli di sebuah sekolah berasrama di Selangor.
Fadhlina menerusi hantaran di Facebook rasminya pada Selasa berkata, pelajar terbabit sedang menerima rawatan di hospital dan pihak kementerian mengambil serius insiden berkenaan.
Beliau menegaskan laporan polis telah dibuat bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan lanjut.
BACA LAGI: Raja Permaisuri Agong dedah ada mangsa buli diam kerana mahu lindungi rakan-rakan
Menurutnya, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) turut memulakan siasatan dalaman bagi meneliti pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di sekolah tersebut, termasuk berkaitan dakwaan buli.
"Saya pastikan siasatan dijalankan secara terperinci semua aspek berkaitan termasuk dakwaan buli dalam kejadian ini.
"KPM akan menempatkan sementara Pengetua, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid serta semua warden sekolah berkenaan di Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor sehingga proses siasatan selesai," katanya memetik hahtaran di laman Facebook pada Selasa.
Fadhlina turut menzahirkan doa agar pelajar terbabit segera pulih dan keluarga diberikan kekuatan dalam berdepan ujian itu, selain menegaskan komitmen kementerian untuk memastikan keselamatan serta kebajikan murid sentiasa menjadi keutamaan.
Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Shazi Kahar memberitahu bahawa pihaknya menerima laporan kejadian itu dan satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 31 (1) Akta Kanak-kanak 2001.
"Siasatan akan dijalankan dari pelbagai sudut termasuk aspek keselamatan pelajar, pengurusan asrama serta latar belakang sosial mangsa dan rakan rakan sekelilingnya," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Sebelum ini, media melaporkan seorang pelajar Tingkatan Tiga kini berada dalam keadaan kritikal selepas disyaki menjadi mangsa buli di asrama.
Bapa saudara mangsa, Muhammad Aidil Mansor, 34, berkata anak saudaranya, Ahmad Irfan Ahmad Hanafi dilaporkan terjatuh dari tingkat tiga asrama sebuah sekolah di Sabak Bernam.
Menurutnya, keputusan imbasan CT scan mendapati anak saudaranya mengalami pendarahan pada bahagian kiri dan kanan otak, selain rahang patah serta kecederaan pada paru-paru.
Ahmad Irfan dilaporkan ditidurkan dan masih dalam pemantauan rapi pihak perubatan selepas didakwa terjatuh dari tingkat tiga asrama sekolah.
"Kalau betul jatuh dari tingkat tiga, mestilah patah riuk. Tapi hasil imbasan hanya tunjuk rahang sahaja yang patah. Sebab itu kami syak ada unsur buli," katanya.
Susulan itu, Muhammad Aidi berkata, keluarga sudah membuat laporan polis pada pukul 5 pagi Selasa di Balai Polis Sabak Bernam.
Pada masa sama, keluarga turut mempersoalkan tindakFan pihak sekolah yang didakwa lewat memaklumkan kejadian kepada penjaga.
"Keluarga hanya dimaklumkan pada pukul 4 pagi, sedangkan kejadian berlaku pukul 2 pagi," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram