Sembunyi kes buli kesalahan jenayah, Asyraf Wajdi beri amaran tindakan tegas terhadap pengurusan MARA


  • Massa
  • Selasa, 19 Ogos 2025

Asyraf Wajdi tidak berkompromi dengan kes buli yang berlaku di institusi pendidikan MARA. — Facebook/AsyrafWajdi

PENGERUSI Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki memberi amaran keras bahawa tindakan tegas akan dikenakan terhadap mana-mana pengurusan institusi pendidikan MARA yang didapati menyembunyikan kes buli.

Beliau menegaskan, perbuatan menutup kesalahan sedemikian dengan alasan menjaga nama baik institusi adalah satu kesalahan jenayah yang tidak boleh dikompromi.

BACA LAGI: 'Bring it on', Asyraf Wajdi utamakan keselamatan ramai,  tak peduli jika disaman ibu bapa pelajar dibuang MRSM 

BACA LAGI: [VIDEO] Asyraf Wajdi, isteri terima kejutan istimewa, 6 anak dendang 'You Are The Reason' disaksikan Tengku Ampuan Pahang

"Adalah satu kesalahan jenayah menyembunyikan kes buli 

"Jika ada pihak pengurusan mana-mana Institusi Pendidikan MARA yang berbuat demikian kononnya nak jaga nama baik dan reputasi, tindakan tegas dan keras pasti akan diambil," katanya merusi laman Facebook miliknya pada Selasa. 

Asyraf Wajdi berkongsi pengalaman ketika baru dilantik sebagai Pengerusi MARA, banyak aduan serta maklum balas diterima daripada ibu bapa dan pelajar mengenai kecenderungan IPMA tidak mahu menghebahkan kes berkaitan buli.

Menurut beliau, ada juga pengurusan yang bimbang imej institusi terjejas hingga menjejaskan peluang menerima anugerah kecemerlangan, sekali gus mengambil pendekatan menutup insiden yang berlaku.

"Saya telah memberi isyarat dan pengarahan yang jelas bahawa jika saya sendiri peroleh maklumat ini, pasti akan saya ambil tindakan tegas terhadap pihak pengurusan IPMA, termasuk Maktab Rendah Sains MARA (MRSM).

"Bahkan, saya sudah menegaskan berkali-kali kepada pelajar bahawa saya tiada kompromi bab buli, walaupun nampak saya banyak bertimbang rasa dalam perkara lain termasuk mengambil berat hal kebajikan guru, pelajar dan staf," katanya menerusi ruangan komen pada hantaran itu. 

Beliau turut menekankan bahawa prinsip #YouTouchYouGo akan dilaksanakan tanpa mengira sesiapa, dan tiada pihak boleh merayu apabila tindakan tegas dikenakan terhadap individu yang terbabit dengan kes buli.

"Hatta anak orang berpengaruh mahupun ternama sekalipun, mereka tahu pendirian tegas saya ini," katanya.

Asyraf Wajdi percaya, langkah memutuskan rantaian budaya buli yang seakan menjadi tradisi di sesetengah institusi hanya mampu dicapai dengan penguatkuasaan tindakan keras dan konsisten. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram