
PEMERIKSAAN awal mendapati semua jambatan, jejantas dan empangan di Johor berada dalam keadaan selamat tanpa sebarang kerosakan selepas gempa bumi lemah berkekuatan 4.1 magnitud yang melanda pada Ahad.
Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Mohamad Fazli Salleh berkata, pemantauan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mendapati struktur berkenaan stabil walaupun berada dalam lingkungan lima kilometer dari pusat gempa.
Menurutnya, dalam radius berkenaan terdapat 47 jambatan di jalan negeri, 14 jambatan di jalan Persekutuan serta 10 jejantas, namun semuanya berada dalam keadaan stabil.
BACA LAGI: Gempa bumi landa Segamat di awal pagi, penduduk dinasihat jauhi struktur tak kukuh
BACA LAGI: [VIDEO] Lelaki maut ditetak gara-gara buat bising di Segamat
“Ia turut melibatkan beberapa empangan bawah seliaan JPS seperti Empangan Bekok di Segamat, Empangan Sembrong di Batu Pahat dan Empangan Macap di Kluang,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Dalam masa yang sama, Mohamad Fazli berkata yang setiap infrastruktur itu akan diberikan pemeriksaan serta pemantauan oleh JKR Johor hasil daripada jaminan kerajaan negeri.
Gegaran yang dirasai oleh Segamat itu dilaporkan turut dirasai di beberapa tempat lain sehingga ke Melaka dan Negeri Sembilan.
Tiada kemalangan jiwa direkodkan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram