Menora MR 333 varieti padi baharu tahan penyakit, mampu tingkat pendapatan pesawah


  • Bisnes
  • Isnin, 25 Ogos 2025

Varieti padi MR 333 atau Menora terbukti berdaya saing serta tahan terhadap penyakit. — ZHAFARAN NASIB/The Star

INSTITUT Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) memperkenalkan varieti padi baharu yang dikenali sebagai MR 333 atau 'Menora'.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, varieti baharu itu bertujuan untuk meningkatkan hasil serta daya tahan tanaman padi negara.

“Varieti MR 333 merupakan hasil penyelidikan intensif oleh Mardi, yang disokong melalui peruntukan sebanyak RM36.1 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) untuk aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) padi,” katanya.

BACA LAGI: Tembusi 1,500 pasar raya di AS, pensyarah asal Malang terima royalti cipta beras tinggi protein, rendah gula pertama di dunia

BACA LAGI: Jeruk, aiskrim dan jus melosel serlah potensi buah premium eksklusif negeri Selangor

Padi farmers Muhamad Rafirdaus Abu Bakar (left) ,49, and Mohd Nazri Murad, 54,holds the new variety of padi MR 333. (August 25, 2025) —ZHAFARAN NASIB/The Star

Pesawah Muhamad Rafirdaus Abu Bakar (kiri) dan Mohd Nazri Murad menunjukkan padi MR 333 atau Menora. — ZHAFARAN NASIB/The Star

Beliau berkata demikian semasa pelancaran Menora di Kampung Lahar Minyak di Kepala Batas, Pulau Pinang, pada Isnin (25 Ogos).

Mohamad berkata, varieti baharu itu dibangunkan khas untuk kawasan Jelapang Padi negara selaras dengan matlamat Pelan Reformasi Industri Padi Negara, dan mencatat potensi hasil sehingga 9.96 tan sehektar.

Beliau turut memaklumkan bahawa varieti berkenaan terbukti berdaya saing serta tahan terhadap penyakit.

Pada masa sama, beliau yakin dengan amalan pertanian yang baik, varieti itu juga mampu membantu meningkatkan pendapatan para pesawah.

Sehingga kini, Mardi membangunkan 58 varieti padi, yang ditanam di lebih 95 peratus kawasan Jelapang Padi negara.

Varieti seperti MR 297 dan MR220 CL2 masih kekal sebagai pilihan utama dalam kalangan pesawah, menurut laporan Jabatan Pertanian bagi musim utama 2022/2023.

Turut hadir pada majlis pelancaran tersebut ialah Pengerusi Lembaga Pengelola Mardi, Dr Azman Ismail; Timbalan Ketua Setiausaha (KPKM), Datuk Badrul Hisham Mohd dan Ketua Pengarah Mardi, Datuk Dr Mohamad Zabawi Abdul Ghani.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Teknologi Agro, Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi Pulau Pinang, Fahmi Zainol serta Pengarah Pertanian Negeri, Mohd Muhaimin Ibrahim.  — The Star / IMRAN HILMY

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram