Jelajah Sawit Hijau MPOGCF didik rakyat fahami konflik manusia-hidupan liar, perbetul naratif negatif industri sawit — Exco Terengganu


  • Massa
  • Selasa, 19 Ogos 2025

Kempen Jejalah Sawit Hijau MPOGCF di Terengganu mendapat sambutan meriah pelbagai lapisan masyarakat. — Facebook MPOGFC

KERAJAAN Negeri Terengganu mengiktiraf peranan aktif Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF) dan mengalu-alukan usaha tersebut dalam mendidik orang awam dan memperjuangkan pemuliharaan alam sekitar melalui inisiatif seperti Jelajah Sawit Hijau di negeri itu baru-baru ini.

Exco Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Terengganu, Datuk Razali Idris berkata, usaha tersebut selari dengan objektif MPOGCF iaitu untuk menyokong pemuliharaan biodiversiti, habitat hidupan liar dan inisiatif kelestarian dalam sektor sawit selain memperkukuh kefahaman masyarakat terhadap kepentingan menjaga flora dan fauna.

Ujarnya, realiti dunia konservasi sering kali tidak diketahui umum dan hanya mereka yang terlibat secara langsung faham cabaran sebenar dalam melindungi hidupan liar, memulihara habitat dan menangani impak pembangunan.

BACA LAGI:Jelajah Sawit Hijau makin meriah, konsep 'edutainment' MPOGCF, Harimau Malaya pikat rakyat Terengganu

BACA LAGI: Siapa kata industri sawit tak mesra alam?

"Kempen seperti Jelajah Sawit oleh MPOGCF sangat penting kerana ia membuka ruang kepada masyarakat awam untuk memahami isu sebenar di lapangan termasuk konflik hidupan liar-manusia, pemuliharaan hutan dan peranan sektor sawit.

"Melalui pendedahan ini, naratif negatif terhadap industri sawit juga dapat diperbetulkan bahawa ia boleh diusahakan secara lestari dengan pematuhan kepada prinsip konservasi," katanya kepada Majoriti.

Jelajah Sawit Hijau menjadi platform terbaik untuk mendidik rakyat tentang kepentingan industri sawit dan melindungi flora dan fauna. — Facebook MPOGCF

Beliau mengulas tentang kempen MPOGCF mengadakan siri Jelajah Sawit Hijau yang memasuki siri kedua di Mayang Mall Terengganu pada 16 Ogos lalu dengan anjuran bersama Suria FM dan portal Majoriti, Vertikal Melayu milik Star Media Group serta rakan strategik lain seperti Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu, Pertubuhan Kelestarian Ekosistem Alam (NEST) dan TDM Plantation Sdn Bhd (TDMP).

Mengulas lanjut, Razali berkata, usaha MPOGCF itu menyokong dasar Terengganu ke arah pembangunan hijau, perlindungan biodiversiti dan pemuliharaan hutan memandangkan negeri itu mempunyai kawasan sawit luas dan bergantung kepada hasil pertanian namun tetap komited kepada prinsip kelestarian.

Didikan tentang usaha melindungi warisan alam negara perlu dimulakan seawal usia agar generasi akan datang sedar kepentingan menghargai alam sekitar. — Facebook MPOGCF

Tambahnya, Kerajaan Negeri berharap agar usaha MPOGCF bukan sahaja diteruskan malahan diperluas sebagai pemangkin kepada tindakan kolektif antara kerajaan, industri, NGO dan rakyat dalam melindungi warisan alam negara secara bersepadu.

"Kerajaan Negeri mencadangkan agar lebih banyak program seumpama ini dijalankan di kawasan luar bandar dan komuniti sawit serta melibatkan pelajar, pekebun kecil dan NGO tempatan melalui kolaborasi strategik dengan jabatan dan agensi negeri di Negeri Terengganu seperti Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Perhutanan, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) dan Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu bagi memperluaskan impak program ini," katanya.

Razali Idris menyokong usaha yang dilakukan MPOGCF menerusi inisiatif Jelajah Sawit Hijau. — Facebook Razali Idris

Sebagai contoh katanya, Terengganu sendiri sudah lama memberi komitmen dengan inisiatif pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar seperti yang dilaksanakan Majlis Pengurusan Taman Negeri (MPTN) untuk menyelaras pemuliharaan kawasan taman negeri termasuk di Tasik Kenyir, Hulu Terengganu, Terengganu.

Selain itu katanya, Setiu Wetlands di Daerah Setiu, Terengganu juga diiktiraf sebagai kawasan ekopelancongan berasaskan pemuliharaan paya bakau, tanah bencah dan habitat unik.

"Kita juga memperkasakan Kenyir Rangers yang telah ditubuhkan sejak 1997 dan kini melibatkan 16 jabatan dan agensi. Kenyir Rangers berperanan mengawal, memantau dan melindungi sumber alam semula jadi di kawasan Tasik Kenyir termasuk pelbagai spesies flora dan fauna.

"Kewujudan agensi seperti Lembaga Sumber Air Terengganu (LAUT) dan Majlis Pengurusan Taman Negeri Terengganu (MPTNT) yang memperkukuh struktur kawalan dan pengurusan lestari sumber alam secara lebih tersusun dan bersepadu.

Terengganu mempunyai pasukan pemantau hidupan liar, Kenyir Rangers bagi melindungi spesies terancam di negeri itu. — Facebook UPDI

"Dengan adanya struktur sedia ada ini, program seperti Jelajah Sawit boleh dijadikan platform untuk penyatuan tindakan bersama antara kerajaan, agensi, industri dan masyarakat kerana usaha ini sejajar dengan matlamat Kerajaan Negeri untuk melindungi sumber alam tanpa menjejaskan pembangunan ekonomi khususnya melalui pelaksanaan prinsip pembangunan lestari dan pelancongan hijau di Terengganu," jelasnya.

Untuk rekod kata Razali, Kerajaan Terengganu telah melaksanakan pelbagai inisiatif mendidik rakyat mengenai kepentingan pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar melalui pelbagai program pendidikan, kesedaran dan advokasi.

Berikut adalah insiatif yang telah dijalankan oleh Kerajaan Terengganu dalam melestarikan alam sekitar:

• Seminar Biodiversiti Terengganu 2024 anjuran Majlis Pengurusan Taman Negeri Terengganu yang menjadi platform ilmiah penting dalam menyampaikan kepentingan biodiversiti kepada pelbagai lapisan masyarakat termasuk sektor awam, akademik, swasta, NGO, komuniti tempatan, masyarakat orang asli dan mahasiswa.

• Program Mencegah Pembakaran Tanah Gambut sempena Hari Alam Sekitar Negara (HASN) 2024 melalui kerjasama dengan Jabatan Alam Sekitar yang bertujuan membina kesedaran tentang bahaya pembakaran terbuka dan impaknya kepada alam sekitar serta kesihatan awam.

Basong Rangers ditubuhkan bagi mengelakkan konflik manusia dan gajah liar di Terengganu. — Facebook YB Tok Li

• Festival Setiu Wetlands yang merupakan acara tahunan yang menggabungkan elemen pemuliharaan, pendidikan, pelancongan dan komuniti setempat bagi memperkenalkan kepentingan ekosistem tanah bencah dan kehidupan liar secara interaktif.

• Penubuhan Pasukan Basong Rangers sebagai taskforce khas untuk menangani konflik manusia-gajah sambil mendidik komuniti tentang kepentingan hidup harmoni dengan hidupan liar.

• Sambutan World Wetlands Day 2025 sebagai sebahagian usaha memperkukuh kesedaran awam tentang kepentingan kawasan tanah bencah seperti di Setiu dalam mengekalkan keseimbangan ekosistem, mitigasi perubahan iklim dan sumber mata pencarian komuniti.

• Sambutan Hari Renjer Sedunia 2025 sebagai penghargaan kepada petugas barisan hadapan konservasi serta platform mendidik masyarakat tentang peranan renjer.

Menurut Razali, semua inisiatif tesebut dirangka dengan pendekatan bersepadu melibatkan agensi teknikal, komuniti setempat, NGO dan pelajar bagi memastikan mesej kelestarian sampai ke semua peringkat.

"Kerajaan Negeri akan terus memperkukuh program pendidikan dan advokasi awam seperti ini untuk memastikan pemeliharaan alam sekitar menjadi tanggungjawab bersama demi kesejahteraan rakyat dan masa depan Terengganu," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebookInstagramWhatsApp Channel dan Telegram