
SEBAGAI langkah memupuk kesedaran awam tentang kepentingan pengeluaran minyak sawit secara lestari, Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF) menganjurkan Jelajah Sawit Hijau untuk mempamerkan bagaimana industri sawit memberi manfaat kepada alam sekitar dan ekonomi negara secara serentak.
Program terbabit bertujuan membetulkan salah faham yang sering dikaitkan dengan industri sawit serta menonjolkan usaha pemuliharaan biodiversiti dalam landskap sawit.
Selain itu, siri jelajah tersebut juga mempromosikan konsep ‘ladang hijau’ kepada masyarakat umum dan mengukuhkan sokongan terhadap sektor sawit sebagai salah satu tonggak penting ekonomi negara.
Hairulazim (dalam gambar) berkata, melindungi hidupan liar, memelihara hutan dan mengekalkan mata pencarian sambil memacu pertumbuhan ekonomi adalah visi yang diperjuangkan setiap hari.
Melalui program itu, MPOGCF turut mempamerkan pelbagai projek dan kerjasama dalam usaha pemuliharaan alam sekitar.
Ia selaras dengan harapan Pengurus Besar MPOGCF, Hairulazim Mahmud, agar setiap pengunjung dapat memahami bahawa minyak sawit yang diusahakan secara bertanggungjawab boleh menjadi sebahagian daripada penyelesaian pemuliharaan alam sekitar.
“Melindungi hidupan liar, memelihara hutan dan mengekalkan mata pencarian sambil memacu pertumbuhan ekonomi adalah visi yang diperjuangkan setiap hari," katanya kepada Majoriti.
Justeru, untuk menjadikan topik pemuliharaan dan kelestarian lebih mudah difahami dan menarik, MPOGCF memilih format program siri jelajah yang menggabungkan elemen pendidikan dan hiburan atau ‘edutainment’.
“Dengan menggabungkan ilmu sains bersama kemunculan selebriti, pameran interaktif, permainan serta segmen radio, siri jelajah ini mampu memberi pengalaman pembelajaran yang menyeronokkan dan mesej yang ingin disampaikan lebih mudah diingati oleh semua lapisan masyarakat,” jelasnya.
Antara aktiviti di Jelajah Sawit Hijau yang pertama diadakan di Alor Setar, Kedah Mei lalu.
Format edutainment dilaksanakan MPOGCF itu mencapai tahap sukses ketika jelajah pertama di Alor Setar, Kedah apabila lebih 43,000 pengunjung yang menyertai aktiviti mereka.
"Maklum balas daripada keluarga, pelajar dan orang ramai sangat positif, menunjukkan minat yang mendalam untuk memahami keseimbangan antara pengeluaran sawit dan pemuliharaan alam sekitar.
Bukan sekadar jumlah pengunjung menjadi ukuran, malah Hairulazim turut berkongsi beberapa kejayaan lain hasil daripada kempen yang dijalankan termasuk peningkatan trafik laman web, pertumbuhan interaksi di media sosial, jemputan ke pameran lain serta pembentukan kerjasama baharu dengan badan bukan kerajaan khususnya dalam acara berkaitan alam sekitar.
"Hasil ini menunjukkan bahawa mesej pemuliharaan kami bukan sahaja didengar, malah diambil tindakan, sekali gus meningkatkan kesedaran awam dan kerjasama yang lebih luas," ujar beliau sambil menambah kerjasama dengan Suria FM dan portal digital Majoriti di bawah Star Media Group Berhad (SMG) telah memainkan peranan penting dalam menjangkau golongan muda dan pelbagai lapisan masyarakat.
Bagi memberi kepuasan memuaskan kepada pengunjung, jelajah akan datang turut menawarkan pelbagai ciri baharu yang lebih interaktif bagi menarik minat pengunjung di semua peringkat umur.
Dianggarkan lebih 43,000 pengunjung hadir siri Jelajah Sawit Hijau di Alor Setar, Mei lalu.
Menerusi jelajah yang akan berlangsung di Terengganu, Johor dan Kuala Lumpur, pengunjung boleh menantikan pengalaman yang lebih menarik dengan permainan realiti tambahan (augmented reality), format kuiz yang dipertingkatkan seperti Kahoot!, serta hadiah-hadiah menarik.
Kandungan pameran juga akan diperkaya dengan permainan memori dan elemen AR yang direka khusus untuk memastikan pengalaman yang menyeronokkan dan bermakna.
Sementara jelajah kemuncak di Kuala Lumpur nanti akan diserikan dengan kehadiran tetamu kenamaan iaitu seorang ahli Kabinet, sekali gus menegaskan kepentingan kempen ini pada peringkat nasional.
Sebelum mengakhiri perbualan, beliau sempat berkongsi rancangan sama ada mahu melanjutkan kempen itu selepas November atau ke platform digital.
"Ya. Kami bercadang meneruskan Jelajah Sawit Hijau sebagai program dwi tahunan yang disokong oleh kehadiran digital yang kukuh.
"Ini membolehkan perbincangan mengenai sawit lestari berterusan sepanjang tahun dan menjangkau pengunjung yang lebih luas di luar acara fizikal," katanya mengakhiri bicara. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram