
TULAR di media sosial sejak Isnin sebuah video memaparkan seorang individu dipercayai warga asing yang menjalankan perkhidmatan teksi haram atau prebet sapu bertindak biadab terhadap penduduk tempatan.
Video yang dimuat naik menerusi akaun TikTok, Izam Teksi itu menunjukkan seorang pemandu prebet sapu berkelakuan kasar apabila ditegur, dipercayai kerana mengenakan tambang yang terlalu tinggi berbanding kadar biasa perkhidmatan e-hailing seperti Grab.
Difahamkan, individu berkenaan tidak memiliki lesen memandu yang sah dan menjalankan perkhidmatan pengangkutan awam secara haram, sekali gus melanggar undang-undang negara.
BACA LAGI: [VIDEO] Lelaki panik diekori polis, bawa mayat isteri digilis lori guna motosikal sejauh 80km
Lebih mengejutkan, dalam rakaman tersebut, pemandu terbabit dipercayai mengenakan caj mencecah RM1,000 bagi satu perjalanan, sekali gus menimbulkan kemarahan warga tempatan.
Bukan itu sahaja, pemandu berkenaan turut dirakam mengaku bahawa kawasan berkenaan milik mereka, sekali gus mengundang kemarahan warga tempatan.
Dalam video itu, beberapa individu dilihat berusaha meleraikan pergaduhan yang berlaku di lokasi kejadian, dipercayai di sekitar ibu kota.
Tindakan pemandu prebet sapu itu turut mengundang kebimbangan dalam kalangan penduduk, yang beranggapan mereka mengambil kesempatan terhadap warga asing lain yang mungkin tidak mengetahui kadar tambang sebenar atau cara mendapatkan perkhidmatan yang sah.
Pihak berkuasa setakat ini belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung insiden tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram