[VIDEO] Restoran di Jitra tawar RM30,000 kepada pemberi maklumat kes Zara Qairina


  • Tular
  • Ahad, 17 Ogos 2025

Restoran Tok Keramat menawarkan ganjaran sebanyak RM30,000 kepada sesiapa yang menyalurkan info mengenai kes Zara Qairina.

GELOMBANG solidariti rakyat Malaysia terus memuncak susulan tragedi menimpa arwah Zara Qairina Mahathir apabila pelbagai pihak tampil menyatakan sokongan, menuntut keadilan terhadap kes berkenaan.

Terbaharu, sebuah premis makanan terkenal di Jitra, Kedah iaitu Restoran Tok Keramat, menawarkan ganjaran sebanyak RM30,000 kepada sesiapa yang menyalurkan maklumat sehingga tertangkapnya individu yang membuli Zara Qairina sehingga pelaku dihadapkan ke muka pengadilan.

Perkara berkenaan diumumkan sendiri pemilik restoran berkenaan, Haji Sobri Haji Zakaria menerusi satu video yang dimuat naik di akaun TikTok rasmi restoran berkenaan, tokkeramatjitra.

BACA LAGI: Mahkamah Koroner akan kendali inkues kes Zara Qairina — Jabatan Peguam Negara

BACA LAGI: Penglibatan pasukan khas JSJ Bukit Aman antara 4 permintaan peguam keluarga Zara Qairina

Dalam rakaman tersebut, Haji Sobri menegaskan tawaran itu dibuat sebagai tanda solidariti terhadap perjuangan mendapatkan keadilan buat Zara Qairina yang meninggal dunia selepas dipercayai menjadi mangsa buli. 

Zara Qairina meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I, di Kota Kinabalu, Sabah pada 17 Julai, selepas ditemukan tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha, Papar pada pagi 16 Julai.

"Bismillahirrahmanirrahim, Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Allahumma salli ala sayyidina muhammadin wa ala ali sayyidina muhammad Allahumma salli ala sayyidina muhammadin wa ala ali sayyidina muhammad. 

"Saya Haji Sobri Haji Zakaria dari restoran Tok Keramat, kami menawarkan kepada sesiapa yang boleh memberi maklumat hingga tertangkapnya pelaku yang membuli adik Zara Qairina sehingga dijatuhkan hukum, Tok Keramat akan menghadiahkan sebanyak RM30,000," katanya. 

Video berkenaan turut disertakan dengan seruan 'Justice for Zara' yang kini menjadi tanda sokongan warganet terhadap usaha menuntut keadilan buat mangsa, dengan ribuan komen serta perkongsian membanjiri platform media sosial sejak ia dimuat naik.

Dalam pada itu, Mahkamah Koroner dijadual mendengar sebutan inkues kes kematian Zara Qairina Mahathir di Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu pada Isnin. 

Memaklumkan perkara itu, peguam mewakili keluarga Zara Qairina, Hamid Ismail berkongsi bahawa sebutan dijadual pada pukul 9 pagi.

"Sebutan untuk inkues ditetapkan esok di Mahkamah Kota Kinabalu pada jam 9 pagi esok," katanya melalui mesej Whatsapp kepada media.

Peguam mewakili keluarga Zara sebelum ini meminta inkues diadakan bagi menentukan punca kematian Zara Qairina.

Sebelum ini, Jabatan Peguam Negara pada Rabu lalu, menjelaskan inkues berkenaan termasuk untuk mengenal pasti sama ada wujud unsur jenayah atau sebaliknya dalam kematian pelajar berkenaan.

Kenyataan itu menyebut, keputusan bagi mengadakan inkues dibuat selepas meneliti laporan siasatan yang dikemukakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung kes itu pada 12 Ogos lalu.

Kenyataan itu turut menyebut, proses inkues akan dikendalikan di Mahkamah Koroner secara bebas dan telus mengikut peruntukan undang-undang.

Susulan kenyataan itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar pada sidang medianya selepas itu menjelaskan permohonan inkues berhubung kematian Zara Qairina dikemukakan kepada koroner seawal minggu ini. — Majoriti 

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebookInstagramWhatsApp Channel dan Telegram