[VIDEO] Katanya isi kosong, lelaki maut tangki lori tiba-tiba meletup ketika kerja kimpalan di Rantau


  • Kes
  • Sabtu, 16 Ogos 2025

Mangsa meninggal dunia selepas tangki lori tersebut meletup ketika kerja-kerja kimpalan dibuat.

SEORANG lelaki maut ketika sedang melakukan kerja kimpalan pada tangki sebuah lori sebelum ia meletup dalam kejadian yang berlaku di Batu 6 Kuala Sawah, Kampung Belangkan, Rantau di Seremban, Negeri Sembilan pada Sabtu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rantau, PBK I Mohd Syazwan Saidy berkata, berdasarkan maklumat awal, tangki itu tidak berisi sebarang muatan ketika berlaku letupan.

"Pasukan BBP Rantau dengan bantuan pasukan Hazmat dari BBP Seremban 2 bergegas ke lokasi kejadian yang mendapati seorang mangsa lelaki berusia 33 tahun dalam keadaan tidak sedarkan diri.

BACA LAGI: Dari permukaan ke dasar laut, kemahiran kimpalan bawah air mampu kembangkan peluang kerjaya pelajar

BACA LAGI: Nekad tinggal kerjaya 'makan gaji' demi jadi petani

"Dia kemudian disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan yang berada di lokasi," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Jelasnya, seorang lagi lelaki yang juga pembantu bengkel hanya mengalami kecederaan ringan dan dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), di sini untuk menerima rawatan.

"Menerusi maklumat kami terima, kedua-dua mangsa sedang melakukan kimpalan ‘valve’ di atas tangki lori. Tangki berkenaan sudah tiba sejak petang Jumaat tidak mempunyai muatan.

"Kedua-dua mangsa dipercayai berada di atas tangki berkenaan sebelum ia tiba-tiba meletup dan kedua-dua mangsa melambung dengan ketinggian tiga meter hampir cecah bumbung bengkel," katanya.

Menurutnya tindakan pasukan BBP Rantau membuat pemantauan sekiranya berlaku sebarang risiko dan membantu pasukan polis, manakala pasukan Hazmat membuat ‘detection’ kawasan bengkel serta tempat berlakunya letupan yang kemudian didapati bacaan normal.

Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak perubatan yang bergegas ke lokasi kejadian.

Katanya, udara di persekitaran kawasan dalam keadaan baik dan selamat, sementara mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan punca kejadian masih disiasat.

Kejadian tersebut membuatkan orang ramai mempersoalkan tahap keselamatan di bengkel tersebut kerana pekerja sepatutnya memeriksa kandungan lori sebelum sebarang kerja-kerja kimpalan dilakukan.

"Tangki kimpalan ini memang boleh jadi bom lah, ada wap gas dalam tangki tu," kata Rel As-Salama.

"Mungkin disebabkan tidak periksa terlebih dahulu tahap wap dalam tangki guna pengesan wap. Ruang terkurung selalu ada saki-baki atau sisa wap gas yang tertinggal. Kena periksa dahulu sebelum masuk atau lakukan apa-apa kerja berkaitan," kata RahmanMajoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram