
JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan sudah mengeluarkan lebih daripada 10,400 saman terhadap pemilik kenderaan kerana tidak memiliki cukai jalan yang sah dari bulan Januari hingga Julai tahun ini.
Ketua JPJ negeri, Hanif Yusabra Yusuf berkata, 10 buah kenderaan mewah telah disita dalam operasi terbaru kerana tidak mempunyai cukai jalan dan perlindungan insurans.
BACA LAGI: JPJ beri peluang kedua, pemandu lesen PSV, GDL digantung boleh hadiri kursus pemulihan
BACA LAGI: JPJ cadang gantung lesen, batal permit pengusaha lori langgar peraturan
“Kenderaan-kenderaan (mewah) ini... setiap satu bernilai ratusan ribu ringgit, tetapi malangnya, pemiliknya tidak membayar cukai jalan.
“Kami telah menyita 10 buah kereta mewah setakat tahun ini dan akan terus mengambil tindakan terhadap mereka yang masih enggan membayar,” katanya kepada pemberita di pejabat JPJ negeri di Seremban, Negeri Sembilan pada Jumaat (8 Ogos).
Beliau berkata, sebanyak 7,812 saman sudah dikeluarkan dalam tujuh bulan pertama tahun ini terhadap pemilik yang tidak mempunyai perlindungan insurans untuk kenderaan mereka.
Bukan itu sahaja, Hanif Yusabra menjelaskan bahawa ada juga yang gagal membayar cukai jalan dan insurans selama lebih dua tahun.
Ketua JPJ Negeri Sembilan, Hanif Yusabra Yusuf.
"Bila kita tanya kenapa tak bayar, mereka hanya jawab ‘lupa’.
"Itu alasan yang lemah dan tidak akan diterima," katanya sambil menambah bahawa kenderaan tanpa cukai jalan dan insurans yang sah akan disita.
"Kenderaan mereka akan disimpan di depot kami sehingga kes mereka diselesaikan (di mahkamah)," tambahnya.
Hanif Yusabra berkata, pemilik kenderaan perlu bertanggungjawab dan mengambil perkara ini dengan serius kerana mereka boleh didakwa di bawah Seksyen 23(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana tidak mempunyai cukai jalan yang sah dan Seksyen 90(1) kerana tidak mempunyai perlindungan insurans.
"Bayangkan jika anda terlibat dalam kemalangan dan tidak mempunyai cukai jalan serta insurans yang sah.
"Anda akan berdepan masalah dengan undang-undang, dan pihak satu lagi akan menghadapi kesukaran untuk menuntut pampasan jika kenderaan anda tidak mempunyai perlindungan insurans," ujarnya. — The Star/SARBAN SINGH
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram