
ISU penggalian semula kubur berhubung kes kematian remaja perempuan, Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir menjadi perhatian masyarakat kerana dipercayai melibatkan unsur jenayah.
Siasatan lanjut memerlukan pihak berkuasa menggali semula kubur arwah bagi menjalankan proses bedah siasat ke atas jenazahnya sekali gus mendapatkan bukti berkaitan dakwaan tersebut.
Perkara ini secara tidak langsung, menimbulkan persoalan masyarakat tentang hukum Islam, prosedur dan batasan syarak dalam melaksanakan tindakan tersebut.
BACA LAGI: Jaga kemuliaan jenazah semasa kubur jenazah digali semula — Pakar agama
BACA LAGI: PDRM gali semula semula kubur Zara Qairina
Pada masa sama, turut menjadi persoalan adakah roh arwah akan berdepan soal jawab malaikat Munkar dan Nakir apabila jasadanya dikebumikan semula selepas prosedur tersebut selesai.
Pensyarah Pusat Kajian Dakwah dan Kepimpinan, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Ahmad Irdha Mokhtar berkata, pemindahan jenazah pada hakikatnya tidak akan mengubah perjalanan roh di alam barzakh.
"Walaupun kubur digali semula dan jasad dikebumikan di tempat lain sekali pun, jenazah tidak akan melalui soal jawab malaikat Munkar dan Nakir sekali lagi.
“Ia merupakan sebahagian daripada ujian awal alam barzakh dan hanya berlaku sekali, bukan berulang-ulang setiap kali jasad dipindahkan.
“Alam barzakh bukan bergantung kepada lokasi fizikal semata-mata, tetapi keadaan roh yang telah ditetapkan. Si mati akan kekal dalam keadaannya di alam barzakh sehingga tiba saat dibangkitkan semula pada Hari Kiamat,” jelas beliau ketika dihubungi Majoriti.
Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan bahawa penggalian semula kubur merupakan perkara sensitif dalam Islam kerana ia menyentuh soal kehormatan manusia walaupun setelah meninggal dunia.
Ujarnya, menurut mazhab Syafie, perbuatan itu pada asalnya adalah haram, berdasarkan hadis Nabi SAW yang bermaksud: “Mematahkan tulang mayat sama seperti mematahkannya ketika hidup.” (Riwayat Abu Daud dan Ibn Majah)
“Hadis ini menjadi dalil bahawa jasad si mati wajib dihormati dan tidak boleh diganggu tanpa sebab yang dibenarkan syarak.
“Namun, hukum tersebut berubah menjadi harus jika wujud darurat syarie atau maslahat yang kukuh. Keadaan ini termasuk siasatan jenayah bagi menegakkan keadilan, kesilapan pengebumian seperti tersalah kubur atau arah kiblat yang salah serta pemindahan jenazah dari kawasan yang tidak sesuai atau berisiko.
“Dalam semua keadaan ini, syarat utamanya adalah proses mesti dilakukan secara terhormat, terkawal dan mengelakkan sebarang bentuk pencerobohan maruah si mati,” ujar beliau.
Sebagaimana firman ALLAH SWT dalam surah Al-Isra’, ayat 70 yang bermaksud: “Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam…”
Ayat ini jelas menunjukkan kemuliaan manusia bukan sahaja ketika hidup, bahkan juga setelah kematiannya.
Menurut Dr. Ahmad Irdha (gambar kecil), pemindahan jenazah pada hakikatnya tidak akan mengubah perjalanan roh di alam barzakh.
Bukan sewenang-wenangnya
Beliau yang merupakan Felo Bersekutu Institut Islam Hadhari, UKM menegaskan, penggalian semula kubur bukan perkara yang boleh dilakukan sewenang-wenangnya kerana ia menyentuh nilai asas agama dalam menghormati jasad.
“Walaupun ada keadaan yang mengharuskannya, syarat-syaratnya ketat. Ia mesti mendapat kebenaran bertulis pihak berkuasa agama negeri, persetujuan waris yang sah dan dilaksanakan oleh petugas berautoriti seperti polis, pegawai forensik atau pengurusan jenazah.
“Proses ini juga wajib menjaga aurat si mati, meminimakan sentuhan tanpa keperluan serta mengelakkan sebarang rakaman atau penyebaran gambar,” tegas beliau.
Beliau turut menekankan bahawa jenazah perlu dikebumikan semula dengan segera selepas proses selesai bagi mengelakkan pencerobohan lebih lanjut terhadap kehormatan si mati. Prinsip hifz al-karamah atau menjaga maruah si mati, katanya, menjadi tunjang utama dalam semua urusan yang melibatkan jasad.
Dalam isu pemeriksaan post-mortem pula, Dr. Ahmad Irdha menjelaskan bahawa hukum asal aurat jenazah wanita di hadapan lelaki ajnabi adalah seluruh tubuhnya.
Oleh itu, pemeriksaan oleh doktor lelaki adalah tidak dibenarkan melainkan jika tiada doktor wanita yang layak.
“Sekiranya tiada doktor wanita, maka dibolehkan doktor lelaki melaksanakan pemeriksaan atas dasar darurat untuk menegakkan keadilan (darurat tubihu al-mahzurat).
“Pun begitu, bahagian tubuh yang tidak diperiksa wajib ditutup dan pendedahan diminimakan,” jelas beliau.
Dari sudut Maqasid Syariah, isu ini menuntut keseimbangan antara menjaga nyawa dan maruah (hifz al-nafs dan al-‘ird) dengan menegakkan keadilan (iqamatul ‘adl).
Menurut Dr. Ahmad Irdha, keseimbangan ini hanya dapat dicapai jika siasatan dilakukan apabila benar-benar perlu dan seluruh proses mematuhi garis panduan syarak di samping mengelakkan pendedahan yang tidak wajar.
Di samping itu, beliau turut menyeru masyarakat agar tidak membuat spekulasi atau mengeluarkan komen yang membuka aib si mati atau keluarga, terutama di media sosial.
“Ini kerana menghina atau memburukkan jenazah adalah dosa besar yang boleh mengundang murka ALLAH SWT.
“Kesimpulannya, penggalian semula kubur adalah langkah terakhir yang hanya dibenarkan jika wujud sebab darurat yang diiktiraf syarak.
“Ia mesti dilakukan dengan penuh adab, memelihara maruah si mati dan mengutamakan petugas wanita dalam kes melibatkan jenazah perempuan.
“Jika keadaan memaksa lelaki bertugas, ia dibenarkan atas dasar darurat dengan syarat yang ketat dan kawalan rapi,” ungkapnya.
Firman ALLAH SWT dalam surah Al-Hujurat, ayat 12 yang bermaksud: “Dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain…”
Ayat ini mengajar kita bahawa setiap tindakan yang melibatkan jenazah harus bebas dari unsur menceroboh kehormatan tanpa sebab yang sah.
Semoga ALLAH mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarhamah Zara Qairina. Al-Fatihah. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram