Kunjungan ‘menyeramkan’ ke Anfield, Amorim patut turunkan 2 'winger' lincah — Legenda Man United


  • Podium
  • Khamis, 02 Jan 2025

Manchester United sememangnya bergelut setiap kali berkunjung ke laman skuad The Reds itu. — Agensi

PERUBAHAN pengurus nampaknya bukanlah solusi terhadap musim sendu Manchester United apabila mereka hanya merekodkan empat kemenangan daripada 11 perlawanan dalam kesemua pertandingan sejak melantik Ruben Amorim.

Rentetan keputusan tidak memuaskan itu sememangnya sukar diterima penyokong yang dahulunya beranggapan masalah sebenar skuad The Red Devils adalah berpunca daripada pendekatan pengurus terdahulu, Erik ten Hag.

Namun, melihat kepada situasi terkini, ramai beranggapan juara 13 kali Liga Perdana Inggeris (EPL) itu akan terus bergelut musim ini, baik di pentas domestik mahupun Eropah.

BACA LAGI: Kalahkan musuh tradisi, Gary Neville label Arsenal main seperti calon juara EPL

BACA LAGI: Man United main macam budak sekolah — Gary Neville

4c526ec0-c43b-11ef-a0f2-fd81ae5962f4

Amorim mengalami tekanan hebat meskipun baru beberapa bulan di Manchester United. — Agensi

Lebih merunsingkan lagi, mereka akan berdepan seteru utama, Liverpool di tempat lawan pada Isnin depan yang pastinya bakal menjadi cabaran hebat buat anak-anak buah Amorim.

Manakan tidak, lihat sahajalah kepada prestasi skuad The Reds dalam EPL 2024/25 apabila mereka hanya mencicirkan mata sebanyak empat kali dengan cuma satu kekalahan dialami.

Perlawanan itu turut digeruni legenda Manchester United, Gary Neville yang mengakui kunjungan ke Stadium Anfield boleh membawa ujian hebat kepada mana-mana pasukan.

"Manchester United hanya memiliki jurang tujuh mata daripada zon penyingkiran, mereka akan berdepan Liverpool. Mereka melantik pengurus muda, jadi dia perlukan masa untuk menyesuaikan diri.

"Tetapi, prestasi buruk dialami hanya memberi tekanan hebat dan Stadium Anfield adalah tempat yang sukar untuk dikunjungi. Saya boleh katakan ia adalah venue yang menguji," katanya.

Marcus Rashford Alejandro Garnacho Manchester United 2024-25

Kehadiran Rashford (kiri) dan Garnacho semestinya amat diharapkan. — Agensi

Kali terakhir Manchester berdepan Liverpool adalah dalam saingan EPL awal musim lalu di Stadium Old Trafford dengan kemenangan 3-0 diperolehi skuad The Reds.

Namun, berdasarkan rekod pertemuan terakhir di Anfield, skuad The Red Devils berjaya mencatatkan keputusan seri tanpa jaringan, iaitu dalam kempen liga musim lalu.

Sekiranya Manchester United mampu meraih sekurang-kurangnya satu mata, ia sememangnya sudah cukup kerana lawan mereka itu amat cemerlang setakat ini, baik dari segi serangan mahupun pertahanan.

Dalam pada itu, ketika mengulas mengenai harapan Amorim di tempat lawan, Neville yang merekodkan 602 penampilan buat kelab tunggalnya tersebut berasakan mereka perlu mengharapkan kepulangan beberapa pemain yang cedera.

"Alejandro Garnacho dan Marcus Rashford difahamkan masih belum cergas, mereka mempunyai standard lebih tinggi berbanding pemain yang sedia ada ketika ini.

"Mereka mempunyai kelebihan tersendiri dan saya berasakan Trent Alexander-Arnold dan Andy Robertson lebih gemar mengawal Joshua Zirkzee atau Bruno Fernandes yang pasti akan diturunkan sekiranya tiada Rashford atau Garnacho," katanya lagi. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram