
USAHA tidak mengkhianati hasil. Penglibatan seorang suri rumah dalam dunia perniagaan sejak usia remaja akhirnya terbayar.
Daripada berniaga kecil-kecilan sebagai ejen, Siti Fatehah Salim kini mempunyai perusahaan sendiri dengan menjual barangan rumah khsusnya bidai.
Walaupun hanya beroperasi dari rumahnya di Skudai, Johor, bisnes Siti Fatehah tetap mendapat sambutan memberangsangkan.
BACA LAGI: Bekas pramugara kini pemilik kedai Nasi Lemak Ayam Taliwang, jual cecah hampir RM15,000 sehari
Antara jenis bidai yang dijual oleh Siti Fatehah.
Kata wanita berusia 35 tahun itu, dia mula berjinak-jinak dalam perniagaan bidai sejak 2017.
"Saya memang minat berniaga sejak remaja dan mula jadi ejen dan dropship untuk bisnes bidai sempena Hari Raya Aidilfitri 2017.
"Pada awal 2025 saya mula bergerak sendiri sebab sebelum itu saya rasa tak yakin untuk jadi majikan pada diri sendiri.
"Tetapi, suami dan adik-beradik banyak nasihat untuk cuba memandangkan saya dah pernah ada pengalaman menjual bidai," katanya kepada Majoriti.
Anak bongsu daripada tujuh beradik itu berkata, idea perniagaan bidai mula muncul selepas melihat pasaran produk tersebut yang kecil di kawasannya.
Bidai iklan yang bukan sahaja sebagai pelindung matahari, tetapi antara cara memasarkan produk peniaga kecil.
Bidai iklan
Rangkaian produknya juga lebih fokus untuk kegunaan luar seperti bidai kanvas, cetakan sinar ultraviolet (UV) dan bidai buluh.
Baginya, produk bidainya amat berguna untuk pemilik rumah, gerai dan restoran kerana ia membantu melindungi kawasan luar daripada panas, hujan serta memberi privasi.
"Bidai jenis ini atau saya panggil juga bidai iklan tak perlukan lesen untuk digantung seperti papan tanda biasa.
"Jadi, ia juga sangat membantu peniaga kecil yang tak mampu pasang papan tanda dan pada masa sama boleh dijadikan sebagai medium pemasaran," jelasnya.
Ibu kepada dua cahaya mata itu menambah, pelanggan bebas memilih rekaan yang mahu dicetak pada bidai ditempah.
Siti Fatehah (kanan) bersama keluarga tercinta.
Rekaan itu kemudiannya diserahkan pada pereka grafik yang diupah.
Menurutnya, proses pembuatan bidai tersebut juga mengambil masa berbeza bergantung pada jenis bidai yang dihasilkan.
"Bidai ini semua dihasilkan dengan buatan tangan. Jadi, satu bidai makan masa dua hingga tiga hari dan perlu cuaca yang baik untuk dapatkan hasil yang baik.
"Satu hari untuk ikat, sehari lapisan cat dan sehari lagi cat.
"Jika bidai UV pula ambil masa selama satu hingga dua minggu.
"Paling cepat boleh siapkan adalah tiga hari sebanyak dua keping tetapi masih bergantung pada saiz bidai," tambahnya.
Bukan sekadar menjual, proses pembuatannya juga menjadi cabaran besar sepanjang menjalankan perniagaan bidai.
Bidai dipasang dengan bantuan dan tenaga pekerja lelaki.
Katanya, tugasnya tidak boleh dilakukan oleh dirinya sendiri dan memerlukan tenaga kaum lelaki untuk membantunya.
"Cabaran utamanya adalah daripada segi teknikal, khususnya untuk ukur dan pemasangan bidai.
"Bidai biasanya memerlukan penggunaan alat berat dan pemasangan yang rumit, jadi saya perlu bergantung pada pasukan lelaki untuk bantu.
"Sebagai wanita, saya juga perlu bina kepercayaan pelanggan agar mereka yakin dengan perkhidmatan saya walaupun bukan saya yang turun pasang sendiri," jelasnya.
Meskipun begitu, Siti Fatehah sentiasa berusaha untuk belajar memasarkan produknya dengan lebih berkesan.
Rata-rata pelanggannya pula berusia 40-an, justeru, Siti Fatehah perlu sentiasa sabar dan tidak terlalu gopoh terutama apabila perlu menjawab soalan yang dilontarkan.
Proses pemasangan bidai memerlukan tenaga kerja yang ramai.
"Saya banyak belajar daripada situasi dan belajar kenal produk. Bila kenal produk dan layang pelanggan dengan ikhlas, Insya-ALLAH boleh jual.
"Paling ramai warga emas atau pencen tempah bidai di rumah, jadi perlukan kesabaran dan kejujuran.
"Saya biasanya akan jujur jika ada kekurangan dan kelebihan produk yang saya jual," katanya sambil menambah bahawa bidainya turut mendapat tempahan daripada pihak sekolah dan bangunan kerajaan lain.
Meskipun memulakan perniagaan dengan modal yang tidak terlalu besar, Siti Fatehah tetap perlu mengeluarkan kos sendiri bagi simpanan stok bidai.
Katanya, modalnya kini adalah sekitar RM3,000 hingga RM5,000 kerana kebanyakan pelanggannya lebih cenderung menempah bidai khas dan bukan sedia ada. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram