
BULI kini menjadi satu isu sosial yang seharusnya ditangani dengan serius terutama dalam kalangan kanak-kanak.
Kematian Zara Qairina Mahathir yang meninggal dunia selepas dipercayai menjadi mangsa buli di sekolahnya di Sabah pada 17 Julai lalu turut membuka mata orang ramai tentang isu terbabit.
Buli bagaimanapun bukan sahaja melibatkan manusia normal, malah turut dilakukan oleh individu istimewa seperti autisme.
BACA LAGI: Mimi Lana mohon doa dapat anak kembar, pakar bagi tip makan keledek, pantau kitaran ovulasi
BACA LAGI: 'Stroller' reka bentuk, inovasi pintar gaya Belanda, penuhi kelengkapan keluarga moden
Nur Arif juga sering membuat perkongsian berkaitan individu autisme.
Mengulas lanjut, Ikon Anak Istimewa Selangor (Anis), Nur Arif Jasmin menjelaskan bahawa situasi tersebut boleh berlaku pada kanak-kanak autisme tanpa sedar atau disengajakan.
Kata Nur Arif yang juga dikategorikan sebagai autisme, keadaan itu berpunca daripada kesukaran memahami isyarat sosial (social cues), kekurangan empati sosial serta kecenderungan meniru bahasa atau tingkah laku orang lain tanpa memahami konsep sebenar.
Bagi memberi pencerahan lebih terperinci, Nur Arif berkongsi beberapa situasi yang diambil daripada pengalamannya ketika di sekolah.
"Waktu sekolah, saya pernah dipanggil pembuli. Suatu hari, saya nampak rakan kelas pakai seluar koyak rabak.
"Saya tanya di hadapan kelas 'Sabri, kenapa awak pakai seluar koyak?'. Tetapi dia hanya diam.
"Hari berikutnya masih koyak dan saya tanya lagi sampai dia menangis. Terkejut saya. Tanya itu pun menangis.
"Dalam dunia saya, itu soalan biasa, tapi tak tahu itu memalukan dalam dunia realiti.
"Saya ada empati emosi, kesian dia susah. Tetapi, saya kurang empati sosial, tak tahu kata-kata itu salah," katanya menerusi hantaran di Facebook.
Kejadian sedemikan berlaku sekali lagi apabila dia bertindak untuk meniru panggilan rakan-rakan lain terhadap seorang pelajar dengan gelaran 'air' di sekolahnya.
Baginya, apabila semua orang ketawa dan seronok, ia petanda positif.
Namun, tanpa disedarinya, ia merupakan perkara yang tidak seharusnya diikut kerana menjadi bahan ejekan ramai.
Situasi berulang ketika dia melanjutkan pelajaran di peringkat universiti.
"Bila masuk universiti, saya suka puji bila nampak orang bergigi jongang. Saya cakap 'cantiknya gigi awak jongang'.
"Orang jongang itu marah dan kata 'awak dah sempurna sangatkah nak hina orang?'.
"Saya terkejut lagi. Dia kata saya pembuli. Puji pun kena marah. Di mata saya, jongang cantik sebab orang jongang ini tak senyum pun nampak senyum.
"Sentiasa bersedekah. Rupanya di mata sosial, jongang itu negatif," jelasnya.
Nur Arif pada masa sama mengambil kesempatan tersebut untuk meminta maaf kepada seluruh individu yang pernah berasa dibuli olehnya.
"Saya tiada niat untuk membuli. Kekurangan saya dalam memahami isyarat sosial membuatkan saya tidak sedar kata-kata atau perbuatan saya boleh menyakitkan hati orang lain," ucapnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram