Polis ditikam ketika bertugas di Jalan Pudu stabil, tiada organ penting terjejas


  • Kes
  • Isnin, 04 Ogos 2025

Koperal Mohd Nadzri ditikam ketika menjalankan rondaan di Pudu, Kuala Lumpur pada minggu lepas.

ANGGOTA polis yang ditikam ketika menjalankan rondaan berhampiran Pasar Pudu, Jalan Yew, Kuala Lumpur pada minggu lalu kini berada dalam keadaan stabil.

Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata, mangsa dijangka akan dibenarkan keluar hospital dalam tempoh seminggu, sekiranya tiada sebarang komplikasi.

BACA LAGI: 'Ketakutan sentiasa ada', isteri anggota polis ditikam ketika buat rondaan luah detik cemas terima panggilan hospital

BACA LAGI: [VIDEO] Suspek tikam polis di Jalan Pudu dicekup bersama serbuk dan ketulan kekuningan

“Setakat ini, mangsa masih dipantau rapi berikutan kebimbangan terhadap kemungkinan pendarahan dalaman atau jangkitan.

“Namun, kami menjangkakan dia akan pulih sepenuhnya tidak lama lagi,” katanya kepada pemberita pada Isnin (4 Ogos). 

Luka tikaman yang berukuran kira-kira tiga sentimeter (cm) lebar dan sedalam tujuh cm, bernasib baik kerana tidak mengenai sebarang organ penting, sebaliknya hanya melibatkan usus kecil.

Beliau turut mengesahkan bahawa anggota polis berkenaan telah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan semasa kejadian.

"Tiada isu berkenaan pematuhan SOP. Anggota tersebut menjalankan rondaan pencegahan jenayah mengikut protokol, termasuk menggunakan sistem ‘buddy’ (berpasangan).

"Kami berharap lebih ramai anggota akan dilengkapi dengan kamera badan (body-worn camera, BWC) pada masa akan datang kerana buat masa ini tidak semua anggota memiliki peralatan ini,” tambahnya.

Beliau turut mendedahkan bahawa kertas siasatan berhubung kes berkenaan sudah lengkap dan akan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) dalam masa terdekat.

Pada 31 Julai, koperal Mohd Nadzri Sudiman ditikam di bahagian perut oleh seorang lelaki berhampiran Pasar Pudu sekitar pukul 12 tengah hari semasa menjalankan rondaan pencegahan jenayah di kawasan berkenaan. — The Star/FARIK ZOLKEPLI 

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram