Rekaan, material busana pengantin penentu tema warna, dekorasi pelamin, serlah seri raja sehari


  • Gaya
  • Khamis, 07 Ogos 2025

Rekaan atau material pakaian pengantin sama ada songket, gaun moden atau tradisional menjadi indikasi pada pemilihan warna utama pelamin. — @sallywho, @rizmanruzaini

PELAMIN dan dekorasi perkahwinan bukan sekadar hiasan untuk mencantikkan suasana. Ia sebenarnya adalah pentas utama yang mencerminkan keperibadian, emosi dan kisah cinta pasangan pengantin.

Di situlah tumpuan tetamu, lensa kamera dan pandangan mata akan tertumpu sepanjang hari bahagia berlangsung.

Oleh sebab itu, susun atur pelamin tidak boleh dibuat sambil lewa atau sekadar ikut trend semasa.

BACA LAGI: 'Doakan papa istiqamah', nekad henti hisap vape lepas anak hadiahkan gula-gula getah nikotin

BACA LAGI: Ameera kongsi foto zaman muda ibu, kejelitaan Noor Kartini bagai tak dimamah usia

Menerusi hantaran di Threads, seorang perancang perkahwinan dan penggubah bunga profesional yang dikenal sebagai Miza Miedazzle berkongsi pendekatan unik dan peribadi tentang bagaimana sesuatu dekorasi boleh membawa makna lebih mendalam, bukan hanya sekadar ‘cantik untuk gambar’.

Berikut empat tip diamalkan dalam setiap dekorasi:

1. Mulakan dengan pengantin, bukan tema

Ramai menyangka proses hiasan bermula dengan pemilihan tema atau warna. Namun, menurut beliau, perkara pertama yang ditanya ialah pakaian pengantin, sama ada baju songket, gaun moden atau pakaian tradisional.

Ini kerana busana pengantin menyimpan cerita tersendiri.

“Daripada pakaian, saya boleh faham gaya, rasa dan vibes majlis itu nanti.

Busana adalah titik mula kepada keseluruhan dekorasi,” jelasnya. Setiap rekaan perlu selari dengan apa yang bakal digayakan pengantin agar semuanya nampak harmoni.

2. Busana pengantin penentu palet warna

Selepas tahu apa digayakan barulah membina palet warna. Biasanya akan ada satu warna utama menjadi teras dan satu atau dua warna tambahan untuk seimbangkan suasana, sama ada untuk kontras, kelembutan atau kilauan.

“Kami bukan hanya hiaskan ruang, tapi pakaikan ruang itu supaya sesuai dengan kehadiran pengantin,” katanya.

Warna pakaian membantu menentukan arah dan rasa keseluruhan dekorasi.

Susunan bunga juga perlu ada tujuan dengan mengambil kira beberapa faktor. — Media sosial

3. Susunan bunga rancang dengan tujuan

Bagi beliau, kedudukan bunga sangat penting. Setiap jambangan dan susunan mempunyai tujuan. Beliau akan mengambil kira faktor di mana pengantin akan berdiri, bagaimana latar belakang akan menaikkan seri raja sehari dan serta susunan tekstur supaya tidak nampak berserabut.

"Saya selalu tekankan hal ini dalam bengkel bunga saya. Bunga perlu letak dengan niat, bukan sekadar penuhkan ruang," katanya.

4. Dekorasi perlu ada sentuhan peribadi

Ramai orang mahu dekorasi yang trending, tetapi bagi pakar ini, dekorasi yang benar-benar bermakna adalah yang mencerminkan siapa pengantin itu sendiri.

“Dekorasi yang baik bukan tiru orang lain. Ia perlu tunjukkan cerita anda, gaya anda dan emosi anda pada hari itu,” katanya.

Hasilnya, suasana bukan saja cantik, malah terasa dekat dan peribadi.

5. Warna sama tak semestinya akan tenggelam

Ada pasangan risau jika warna pelamin terlalu hampir dengan warna baju atau takut 'tenggelam'.

Tapi menurutnya, warna ada banyak tona. Jika bijak dipadankan, warna yang hampir sama boleh beri kesan mendalam dan berlapis.

Contohnya, warna latar belakang boleh dipilih dalam tona lebih gelap manakala bahagian berhampiran pengantin dalam tona lebih lembut.

Ini menjadikan pengantin tetap menyerlah dan tidak tenggelam dalam dekorasi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram