
PERGADUHAN membabitkan aksi bola sepak sosial kerap berlaku meskipun terdapat pelbagai usaha dilakukan untuk membendung insiden sebegitu daripada terus berulang.
Kekecohan melibatkan hal tersebut berlaku baru-baru ini ketika Kejohanan Piala YB Adun (Ahli Dewan Undangan Negeri) Batu Buruk yang difahamkan berlangsung di sebuah padang sekitar Chendering, Kuala Terengganu.
Insiden tersebut sempat dirakam dan dimuat naik di laman TikTok Your Stugg memaparkan pergaduhan yang turut melibatkan campur tangan penyokong di tepi padang.
BACA LAGI: [VIDEO] Polis tahan 6 suspek terlibat gaduh bola sepak di Kota Belud
BACA LAGI: [VIDEO] Polis cekup 2 'hooligan' bola sepak cetus kekecohan di stesen LRT Bandar Tasik Selatan
"Hanya kerana RM2,000, sanggup masing-masing bergadai nyawa. Kuala Ibai Pantai FC, dari pengurusan hingga ke pemain, semuanya gagal. Kalau juara sekali pun, RM2,000 akan dibahagi kepada 25 orang," tulis pemilik akaun tersebut.
Tidak dapat dipastikan sebuah lagi pasukan yang terlibat dalam perlawanan itu, namun difahamkan Chendering FC merupakan pasukan lawan berdasarkan hantaran di laman Facebook kelab.
Dalam perkongsian terbaru, pasukan amatur itu memuat naik sebuah poster dengan mesej ringkas 'Berhenti Bergaduh' yang menjadi petanda bahawa kelab berkenaan turut terlibat dalam insiden terbabit.
Selain itu, perlawanan terakhir melibatkan Chendering FC adalah semasa mereka berdepan Kuala Ibai Pantai FC pada Jumaat lalu dengan ia menguatkan kemungkinan berkenaan.
Kejohanan Piala YB Adun Batu Buruk dianjurkan setiap tahun dengan Adun kawasan tersebut, Muhammad Khalil Abu Hadi sudah tentu berhasrat untuk menyemai gaya hidup sihat.
Bagaimanapun, kekecohan sedemikian menceritakan hasrat diletakkan itu masih belum kesampaian kerana sukan bola sepak sepatutnya menjadi medium penyatuan masyarakat.
Setakat ini, tiada sebarang kenyataan dikeluarkan pihak penganjur berhubung insiden berkenaan dengan kerugian dan kecederaan disebabkan perkara itu masih belum diketahui. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram