
SEORANG anggota polis berpangkat Koperal dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) maut selepas dirempuh ketika cuba menggagalkan cubaan mencuri sebuah peti besi di sebuah rumah kediaman di Alor Setar, Kedah pada awal pagi Khamis, lapor Malaysiakini.
Ketua Polis Kedah, Komisioner Adzli Abu Shah berkata, mangsa yang berusia 35 tahun itu maut di tempat kejadian selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Lexus yang dinaiki empat suspek merempuh anggota keselamatan terbabit.
Ketika itu, katanya, Koperal Mohd Hafizul Izham Mazlan baru sahaja turun dari kereta di bahagian penumpang hadapan.
BACA LAGI: MCMC panggil Muhyiddin Yassin, beri keterangan sebagai saksi
“Pada pukul 3.30 petang tadi, polis menerima maklumat awam berhubung aktiviti jenayah disyaki pecah rumah.
"Sepasukan lima pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah ke lokasi kejadian dengan menaiki dua kenderaan.
“Sebaik tiba, mangsa yang keluar dari kereta terus dirempuh suspek yang cuba melarikan diri. Mangsa yang cedera parah di bahagian kepala dan badan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.
Menurut Adzli, seorang suspek berjaya ditahan di lokasi, sementara tiga lagi melarikan diri dengan kenderaan tersebut sebelum berjaya diberkas di Kepala Batas, tidak jauh dari Alor Setar.
“Tiga suspek itu turut melarikan sebuah kereta yang dinaiki sepasang suami isteri warga emas di sebuah hotel.
“Suspek menarik keluar pemandu lelaki dan turut membawa isteri mangsa yang berada di bahagian penumpang hadapan.
“Kereta yang dilarikan suspek kemudian terlibat dalam kemalangan di Kepala Batas sebelum polis berjaya menahan kesemua suspek di sekitar kawasan berkenaan,” katanya.
Tambah Adzli, semua suspek yang berusia antara 24 hingga 26 tahun itu akan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan juga Seksyen 457 kerana pecah rumah.
Dia menambah suspek berusia 26 tahun yang dipercayai merupakan ketua kumpulan itu, mempunyai 77 rekod jenayah lampau yang majoritinya melibatkan kes pecah rumah dan curi kereta, selain kes dadah.
Tiga lagi suspek kumpulan itu, tambah Adzli, dipercayai dari Selatan tanah air turut mempunyai rekod jenayah yang melibatkan pelbagai kesalahan.
“Polis akan memohon reman esok dan menjalankan siasatan lanjut termasuk bekerjasama dengan Polis Kontinjen Johor dan jabatan berkaitan.
“Kita perlu faham kenapa mereka berada di kawasan ini, adakah mereka datang secara rawak atau mendapat maklumat dalaman bahawa rumah itu kosong,” katanya.
Adzli berkata, jenazah Allahyarham Mohd Hafizul, yang sudah berkhidmat selama 15 tahun dan berasal dari Setiu, Terengganu berada di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk proses bedah siasat.
“Arwah meninggalkan seorang isteri dan tiga anak lelaki yang berusia empat, sembilan dan 11 tahun.
“Polis belum pasti di mana arwah akan dikebumikan dan sebarang perkembangan akan dimaklumkan kelak,” katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram