
SEORANG kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun yang dilaporkan hilang kira-kira dua jam selepas tergelincir ketika memancing di sebuah kuari pasir berhampiran Taman Mesra Ria, Baling, Kedah ditemukan lemas pada Khamis.
Memetik laporan BH Online, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling, Penolong Penguasa Bomba Zulkhairi Mat Tanjil, memaklumkan mangsa ditemui pukul 6.25 petang tidak jauh dari lokasi kejadian.
Beliau berkata, mangsa Muhammad Farish Syazwi Mohamad Shukri, 12, ditemui ahli keluarganya serta orang awam yang turut melakukan pencarian bersama anggota BBP Baling.
BACA LAGI: [VIDEO] Anak-anak tak selesa, warga asing santai ‘bolot’ taman permainan di Melaka
"Sebelum itu kami turut melakukan selaman sedalam lebih tiga meter dengan dibantu penduduk kampung.
"Mangsa ditemui kira-kira dua jam selepas dia dilaporkan tergelincir dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
"Antara cabaran yang kita hadapi adalah kedalaman kuari yang tidak sekata serta berarus deras malah ada kawasan yang berpusar," katanya.
Sementara itu, rakan sebaya mangsa dilaporkan gagal menahan kesedihan sebaik sahaja jasad kanak-kanak tersebut ditemukan.
Difahamkan, mangsa cuba menyelamatkan rakannya yang tergelincir, namun usaha itu gagal apabila mangsa sendiri tenggelam tidak lama kemudian.
Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Baling, Deputi Superintendan Ahmad Salimi Md Ali, mengesahkan bahawa jasad kanak-kanak itu telah ditemui. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram