
ATTANA Hotels & Resorts Sdn Bhd (AHR) sekali lagi meraih enam anugerah berprestij di Anugerah Industri Pelancongan 2025 yang berlangsung di Sunway Resort Hotel, baru-baru ini sekali gus mengukuhkan kedudukan kumpulan tersebut sebagai salah satu penyedia hospitaliti terkemuka di Malaysia.
Pencapaian itu mengukuhkan kejayaan cemerlang AHR di Anugerah Industri Pelancongan 2024, selepas turut meraih enam anugerah utama.
Kemenangan dua tahun berturut-turut itu membuktikan usaha berterusan AHR dalam mengejar kecemerlangan, keupayaannya menyesuaikan diri dengan perubahan kehendak tetamu, serta komitmennya yang teguh untuk menyampaikan hospitaliti Malaysia yang direka khusus.
BACA LAGI: 245 sukarelawan bersihkan pantai, tanam pokok demi kelestarian alam
BACA LAGI: Villea Rompin, 'hidden gem' buat peminat sukan golf, pencinta ketenangan
“Kami amat berbesar hati dan berasa terhormat kerana sekali lagi menerima pengiktirafan daripada pakar industri serta tetamu yang telah merasai pengalaman di hartanah kami,” kata Ketua Pegawai Operasi AHR, Ron Hasni Yusoff.
“Anugerah ini mencerminkan dedikasi kami bukan sahaja sebagai kumpulan hotel kontemporari, pengendali resort dan kelab golf terkemuka, malah sebagai jenama hospitaliti yang komited untuk meningkatkan pengalaman tetamu dari tahun ke tahun, katanya.
AHR menguruskan tujuh kumpulan hotel, resort dan kelab golf dan bagi tahun ini, AHR memenangi Rangkaian Pengurusan Hotel Terbaik.
Dua hotel di bawah seliaannya, Perdana Kuala Lumpur City Centre (PKLCC) dan Perdana Kota Bharu (PKB), masing-masing merangkul anugerah Perniagaan Hotel Bandar Terbaik dan Perniagaan Hotel Pantai Timur Terbaik.
Sementara itu, Espira Kinrara memenangi Resort Bandar Terbaik manakala Villea Port Dickson (VPD) dianugerahkan Resort Keluarga Mesra Alam Terbaik dan Kota Seriemas Golf & Country Club (KSGCC) merangkul anugerah Lokasi Kejohanan Golf Terbaik.
Tahun lalu, AHR telah dinobatkan sebagai Pengurusan Hotel dan Hartanah Terbaik.
Perdana Kuala Lumpur City Centre (PKLCC) di bawah seliaanya dianugerahkan sebagai Hotel Bandar Keluarga Terbaik manakala Perdana Kota Bharu (PKB) diiktiraf sebagai Hotel Terbaik Bandar di Pantai Timur.
Sementara itu, Espira Kinrara memenangi Hotel Perniagaan Tiga Bintang Terbaik; Villea Port Dickson (VPD) dianugerahkan sebagai Resort Mesra Alam Terbaik dan Kota Seriemas Golf & Country Club (KSGCC) merangkul anugerah Lokasi Golf Terbaik.
Sementara itu, Ron Hasni menambah bahawa pengiktirafan tersebut meraikan hotel, resort dan kelab golf yang konsisten memberikan pengalaman tetamu yang cemerlang sambil mengekalkan standard perkhidmatan yang tertinggi.
“Pengalaman hospitaliti Malaysia yang kami reka – dari penginapan hingga sajian – adalah keunikan yang membezakan kami. Identiti jenama AHR, yang diilhamkan daripada cahaya penunjuk arah, mencerminkan perpaduan dan semangat hospitaliti Malaysia yang sebenar.
"Kami kekal komited untuk menyediakan pengalaman autentik yang akan dikenang oleh tetamu kami," katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa pencapaian ini memberi semangat kepada kumpulan yang mengurus portfolio hotel, resort dan kelab golf bernilai lebih RM800 juta untuk terus meningkatkan kualiti perkhidmatan, di samping mengukuhkan agenda kelestarian melalui program tanggungjawab sosial korporatnya, Sayang Earth.
Melalui Sayang Earth, Attana memperjuangkan inisiatif alam sekitar dan komuniti berdasarkan empat teras – Gaya Hidup Sihat; Guna Semula, Kitar Semula & Kurangkan (3R); Selamatkan Planet; dan Pembangunan Komuniti.
Anugerah Industri Pelancongan ini dianjurkan bersama oleh Malaysia International Tourism Development Association (MiTDA), Tourism Selangor dan Santai Travel Magazine, dengan
sokongan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Tourism Malaysia dan Visit Malaysia 2026. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram