
PENGERUSI Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mendedahkan terdapat ibu bapa yang mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap beliau dan agensi itu selepas anak mereka dibuang daripada Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) akibat kes buli.
Beliau berkata, tindakan saman itu dikaitkan dengan pendiriannya yang tegas menyingkirkan pelajar terbabit salah laku disiplin serius khususnya membabitkan perbuatan buli.
“Saya dimaklumkan ada ibu bapa yang anak-anaknya dibuang MRSM kerana kes buli nak saman saya dan MARA. Saya katakan, ‘Bring it on!’,” katanya dalam kenyataan di Facebook rasminya pada Sabtu.
BACA LAGI: 'Biarlah budak-budak', tanpa sedar ayat ini punca, bentuk anak jadi 'kaki buli'
BACA LAGI: ‘Siang jadi guru malam nak berjaga’, lantik warden swasta elak kejadian buli di asrama
Asyraf Wajdi menegaskan, pihaknya tidak akan berkompromi dalam isu keselamatan pelajar kerana menjadi tanggungjawab MARA memastikan majoriti pelajar dapat belajar dalam suasana selamat dan kondusif.
“Saya nak jaga keselamatan majoriti pelajar, bukan segelintir yang berlagak samseng,” katanya sambil menambah bahawa MARA akan terus bertindak tegas terhadap mana-mana pelajar yang terbabit dalam perbuatan buli.
Beliau sekali lagi menegaskan bahawa budaya samseng tidak mempunyai tempat di MRSM dan pelaku perlu menerima akibat perbuatan mereka tanpa mengira latar belakang.
MARA turut mengulangi mesej amaran, '#YouTouchYouGo' sebagai tanda komitmen mengambil tindakan pantas terhadap pelaku buli demi melindungi pelajar lain.
Terdahulu media tempatan melaporkan enam pelajar tingkatan Lima di sebuah MRSM di Melaka digantung dan dicadangkan dibuang selepas didakwa terlibat dalam kejadian buli pada penghujung Julai lalu.
Sementara itu, pada April lalu pula menyaksikan Jawatankuasa Disiplin MRSM turut mengesyorkan tujuh pelajar MRSM di Nibong Tebal, Pulau Pinang yang terlibat kes buli ditamatkan pengajian. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram