Suspek bunuh Koperal Hafizul direman 7 hari, kebajikan keluarga arwah dibela


  • Kes
  • Jumaat, 08 Ogos 2025

Kesemua empat suspek akan direman hingga Khamis depan selepas menyebabkan kematian Koperal Hafizul.

POLIS sudah memperoleh perintah reman selama tujuh hari terhadap empat suspek yang terlibat dalam kes kematian seorang anggota polis dan kes pecah rumah di Taman Golf, Alor Setar, Kedah pada Khamis.

Perintah itu diperoleh daripada Majistret Siti Nor Hasliza Md Ali dengan kesemua suspek berusia dalam lingkungan 24 ke 26 tahun dibawa ke Kompleks Mahkamah Alor Setar pada Jumaat.

Media sebelum ini melaporkan Koperal Mohd Hafizul Izham Mazlan berusia 35 tahun dilanggar kenderaan dipandu suspek yang ketika itu melarikan diri selepas memecah masuk sebuah rumah.

BACA LAGI: [VIDEO] Koperal maut digilis di Alor Setar, sindiket aktif curi peti besi merentas negeri

BACA LAGI: Kes Farah Kartini: Lans Koperal mengaku tak bersalah

Saifuddin menjelaskan pihaknya akan terus membela nasib keluarga arwah.

Ketua Polis Kedah, Komisioner Adzli Abu Shah berkata, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dengan penahanan reman akan berlangsung sehingga Khamis depan.

Suspek dipercayai berasal dari Johor dan hasil semakan mendapati salah seorang mempunyai 77 rekod lampau, kebanyakannya membabitkan kes pecah rumah dan curi kenderaan.

Dalam pada itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kebajikan keluarga Allahyarham Hafizul akan dijaga menerusi satu kenyataan dikeluarkan.

"Kementerian Dalam Negeri dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memastikan segala urusan, termasuk pembayaran gratuiti, ex gratia dan sumbangan kepada waris akan disalurkan segera.

"Saya menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Allahyarham Koperal Mohd Hafizul Izham atas khidmat bakti beliau yang tidak ternilai," tulisnya.

Saifuddin turut menzahirkan rasa terima kasih buat PDRM atas pengorbanan dilakukan dalam memastikan keamanan negara terus terpelihara di samping menyifatkan anggota yang terkorban dalam kes itu mencerminkan keberanian pihak polis. — The Star/IRMAN HILMY

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram