
MENTERI Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri diraikan dalam satu sambutan hari lahir secara mengejut oleh pasukannya di pejabat Parlimen pada Selasa.
Menurutnya, beliau pada awalnya dimaklumkan tentang sebuah mesyuarat bersama pasukan, namun sebaik melangkah masuk ke pejabat, beliau disambut dengan kejutan kek hari lahir.
Detik itu dikongsikan sendiri oleh Nancy menerusi akaun Threads miliknya.
BACA LAGI: Misha sifatkan suami 'filter' terbaik, pelindung emosi dikala berdepan saat getir
“Kejutan ulang tahun menjadi! Saya dimaklumkan ada mesyuarat bersama pasukan. Masuk sahaja ke pejabat Parlimen, saya tak sangka mereka telah bersedia dengan kek hari lahir,” tulisnya.
Dalam hantaran yang turut disertakan beberapa keping gambar, Nancy dilihat mengenakan baju kurung moden bermotif Pua Kumbu dalam rona coklat dan jingga, dihiasi renda hitam pada bahagian lengan dan dada.
Gayanya dilengkapkan dengan tudung bawal beige dan rantai mutiara.
Turut kelihatan dalam sambutan sederhana itu ialah Timbalan Menteri KPWKM, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad dan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Nancy turut meluahkan rasa syukur atas kejutan yang dianggap cukup bermakna kerana diraikan oleh pasukan yang sentiasa bersama dalam perjalanan kerjayanya.
“Alhamdulillah, istimewa betul ulang tahun kali ni disambut bersama mereka yang telah menjadi teman dalam setiap langkah perjalanan ini,” katanya lagi.
Menambah unsur jenaka, Nancy menyatakan bahawa hadiah hari lahirnya kali ini adalah dapat mengetahui rahsia melibatkan dua figura terkenal, iaitu selebriti, Bella Astillah dan Syed Saddiq.
“Ps: Hadiah ulang tahun hari ini saya dapat tahu rahsia BASS,” tulisnya seloroh.
Hantaran tersebut menerima pelbagai reaksi positif daripada para pengikutnya yang mengucapkan selamat hari lahir dan mendoakan kesejahteraan beliau.
Sekadar info, Nancy dilahirkan di Kuching, Sarawak pada 5 Ogos 1961. Tahun ini, beliau menyambut ulang tahunnya yang ke-64. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram