
DI pinggir bandar Havana, Cuba, kelihatan susuk seorang lelaki mengendalikan jaring yang di dalamnya dipenuhi dengan ribuan ekor lalat.
Yodermis Diaz Hernandez meninggalkan kerjaya sebagai doktor untuk memberi fokus kepada ternakan lalat itu yang diusahakan di sebuah bengkel.
Bagi Diaz, penternakan lalat jenis Hermetia illucens atau lalat askar hitam (BSF) memberi pulangan lebih lumayan berbanding kerjaya profesional dalam bidang perubatan yang diceburinya 20 tahun lalu.
BACA LAGI: Yogurt kelapa Ladang Amirah bebas tenusu, ciptaan geliga pasangan suami isteri dari Pontian
BACA LAGI: Buah rosak, bertompok kena 'sunburn', peladang nanas, tembikai kongsi helah elak rugi ribuan ringgit
Diaz menunjukkan larva lalat askar hitam di bengkel ternakannya di pinggir desa Havana. — Agensi
Larva lalat askar hitam terkenal dengan keupayaannya melahap sisa organik, dan kini digunakan di negara seperti Perancis, Belanda dan Britain sebagai sumber protein mampan untuk makanan haiwan dan haiwan peliharaan.
Diaz mengambil pendekatan yang sama di Cuba dengan menukar sisa pertanian kepada larva berprotein tinggi yang boleh diproses menjadi makanan ikan serta baja organik.
"Idea ini datang daripada seorang rakan pada tahun 2019," kata Diaz.
Menurutnya, penternakan larva lalat itu juga memberinya satu tujuan hidup yang lebih bermakna, yang disifatkan sebagai penyelesaian penting dalam ekonomi Cuba yang sedang tenat.
"Ia membuka mata saya tatkala Cuba sedang berdepan dengan cabaran ekonomi semasa yang semakin mencabar," tuturnya lagi.
Walaupun hanya menggunakan peralatan buatan sendiri dan kemudahan asas, usaha Diaz mula menampakkan hasil.
Pada tahun 2023, dia berjaya menjual 300 kilogram (kg) larva lalat kepada penternakan ikan air tawar dengan harga 450 peso sekilogram bersamaan kira-kira AS$3.75 (RM15.84).
Tahun ini, dia menyasarkan untuk menjual sebanyak 1,000 kg.
“Ini semua bukan tentang keuntungan semata-mata sebaliknya mengenai kelestarian. Kami tukar sampah kepada protein, kepada ‘emas’ untuk haiwan dan lebihan pula menjadi baja. Kami juga membantu memulihkan alam sekitar," kata Diaz.
Peralihan daripada bidang perubatan ke penternakan larva mungkin kelihatan luar biasa, tetapi ia mencerminkan satu trend yang semakin ketara di Cuba.
Akibat kejatuhan ekonomi selepas pandemik Covid-19, sekatan baharu dari Amerika Syarikat dan embargo perdagangan yang berlangsung selama beberapa dekad, rakyat Cuba kini terpaksa mencari alternatif untuk menjamin kelangsungan bekalan makanan dan makanan ternakan.
Tahun lalu, kerajaan Cuba mula meneroka potensi penternakan serangga sebagai ganti kepada makanan ternakan yang diimport pada kos tinggi.
Kini, segelintir rakyat seperti Diaz mula membina perusahaan kecil secara persendirian, berpandukan daya cipta dan ketahanan dalam menghadapi kesempitan hidup.
Dalam situasi mencabar, lalat askar hitam yang diternak Diaz mungkin bukan sekadar sumber makanan tetapi simbol harapan baharu rakyat Cuba. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram