16 bulan tak bayar gaji, pemain dan staf Putrajaya Athletic mahu buat laporan polis


  • Podium
  • Isnin, 04 Ogos 2025

Pemain dan kakitangan PT Athletic didakwa masih belum menerima sebarang bayaran gaji selama hampir 16 bulan.

WALAUPUN tidak lagi bermain dalam saingan Liga A1 Semi Pro, nama Putrajaya Athletic atau dikenali sebagai PT Athletic FC menjadi topik perbualan penyokong bola sepak tanah air selepas didakwa bersikap culas dengan pemain dan kakitangan mereka.

Pemain dan kakitangan kelab bola sepak berkenaan mendedahkan bahawa mereka bahawa mereka masih belum menerima sebarang bayaran gaji selama hampir 16 bulan sejak menandatangani kontrak untuk saingan Liga A1 Semi Pro musim lalu.

Pendedahan mengejutkan itu dikongsikan oleh laman Instagram penyokong bola sepak tempatan iaitu Palatao Bola, selepas akaun itu memuat naik luahan daripada individu tidak dikenali dipercayai salah seorang yang terlibat secara langsung dengan pasukan berkenaan.

BACA LAGI: 'Alhamdulillah', Wan Amirul Afiq sah tinggalkan Kedah, setahun didakwa dianiaya beraksi tanpa gaji

BACA LAGI: Izin kelab bawa masuk 3 import, AFL minta 3 bulan deposit gaji sebagai jaminan

"Assalam admin. Maaf ganggu, mohon muat naik mengenai Putrajaya Athletic sebab saya nak highlight tidak dibayar gaji sehingga kini. Sesen pun dari sign kontrak Liga A1 musim lepas sehingga kini hampir 16 bulan tiada sebarang gaji," tulis individu terbabit.

Dalam tangkap layar dikongsi laman itu juga mendedahkan bahawa meskipun pasukan tersebut berjaya melayakkan diri ke Piala Malaysia, para pemain dan kakitangan telah beraksi sepanjang musim tanpa sebarang bayaran.

Antara pemain yang disenaraikan sebagai terlibat termasuk beberapa nama besar dalam bola sepak tempatan seperti Latiff Suhaimi, Indra Putra Mahayuddin, Syazwan Zainon, Fandi Othman, Adib Zainuddin dan S. Veenod.

 

 

Individu itu turut menyebut nama pemilik kelab iaitu Nazrulerwan Makmor yang dilabelnya secara sinis sebagai '@badut' dalam mesej terbabit, seolah-olah menggambarkan rasa kecewa terhadap kepimpinan kelab.

"Sesen pun dari sign kontrak Liga A1 musim lepas sehingga kini hampir 16 bulan tiada sebarang gaji. Highlight gambar pemilik kelab (Nazrulerwan @badut)," tambah individu itu lagi.

Berdasarkan semakan Majoriti, Nazrulerwan merupakan pengendali kelab berkenaan untuk musim lepas dengan tidak pasti jika bekas pemain Melaka FC itu memiliki saham bersama dalam Putrajaya Athletic.

Nazrulerwan merupakan ketua jurulatih PT Athletic.

Difahamkan, laporan polis berhubung isu tunggakan gaji ini akan dibuat dalam minggu ini, sebagai usaha mendapatkan keadilan setelah usaha perbincangan dalaman didakwa menemui jalan buntu.

Setakat ini, pihak pengurusan Putrajaya Athletic masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung dakwaan tersebut.

Isu tunggakan gaji bukanlah perkara baharu dalam arena bola sepak tempatan, namun kes melibatkan tempoh selama 16 bulan tanpa sebarang bayaran menimbulkan persoalan besar tentang pengurusan kelab serta ketelusan dalam kontrak profesional sukan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram