
ISTERI kepada seorang anggota polis yang ditikam ketika menjalankan rondaan di Pudu, Kuala Lumpur minggu lalu meluahkan rasa terkejut apabila menerima panggilan kecemasan daripada hospital yang memerlukan kebenarannya bagi menjalankan pembedahan segera.
Norfazliana Osman, 35, berkata, beliau berada di kediaman mereka di kuarters polis Pudu ketika dihubungi Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia sekitar pukul 1 petang pada Khamis.
“Mereka maklumkan suami perlu dibedah serta-merta dan meminta persetujuan kerana ada kemungkinan sebahagian ususnya perlu dibuang akibat kesan tikaman,” katanya.
BACA LAGI: [VIDEO] 'Biar kulit hitam, bukan hati hitam', Fila Amir dan suami tangkis tohmahan anak haram
Suaminya, Koperal Mohd Nadzri Sudiman kini dilaporkan stabil namun masih lemah dan memerlukan rawatan pengurusan kesakitan.
“Saya faham risiko tugas seorang anggota polis, tetapi sebagai isteri, perasaan bimbang itu sentiasa ada,” kata Norfazliana yang mempunyai dua anak berusia 11 dan tujuh tahun.
Menurutnya, tempoh suaminya dirawat di hospital masih belum dapat dipastikan, namun anak-anak telah dimaklumkan mengenai keadaan bapa mereka.
Terdahulu, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay hadir melawat Mohd Nadzri di hospital.
Turut hadir, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad; Timbalan Pengarah Pengurusan (Pentadbiran) Bukit Aman, Datuk Azizee Ismail; Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Mohd Lazim Ismail dan Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Aidil Bolhassan.
Sebelum ini, Mohd Nadzri mengalami kecederaan parah selepas ditikam di bahagian perut oleh seorang lelaki tempatan berusia 56 tahun ketika membuat rondaan bersama empat anggota lain di Pasar Pudu, Jalan Yew.
Suspek ditahan di lokasi kejadian dan kini direman sehingga Khamis depan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 307 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh dan menghalang penjawat awam, serta Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram