
DALAM suasana politik negara yang kian panas, gelombangnya bukan sekadar terasa di jalan raya atau di media sosial, bahkan sudah meresap ke ruang paling peribadi dalam kehidupan manusia iaitu rumah tangga.
Suami dan isteri yang sepatutnya menjadi teman sejiwa kadangkala bertukar menjadi lawan emosi hanya kerana berbeza parti, ideologi atau tokoh yang dikagumi.
Lebih membimbangkan, muncul pula suara ekstrem yang menghasut agar suami isteri bercerai jika tidak sealiran politik.
BACA LAGI: Anak muda depresi bukan tanda lemah, isyarat terlalu lama ‘berjuang', amal zikir, solat tahajud
BACA LAGI: Hijrah suami isteri: Jaga adab, aib pasangan di media sosial, sama-sama baiki diri
Ketua Program Diploma Pengajian Islam, Kolej UNITI Kota Bharu, Ustaz Ahmad Fahmi Azalee berkata, fenomena ini adalah fitnah zaman yang mengancam institusi keluarga Muslim.
“Rumah tangga adalah benteng sakinah, mawaddah dan rahmah. Ia bukan gelanggang fanatik dan bukan medan untuk mencampakkan talak semata-mata kerana bendera parti,” tegas beliau ketika dihubungi Majoriti.
Menurut Ustaz Ahmad Fahmi, perbezaan fahaman politik yang diurus tanpa hikmah sering membawa kepada komunikasi yang tegang, sindiran berterusan dan hilang hormat antara pasangan.
Ustaz Ahmad Fahmi berkata, perbezaan fahaman politik yang diurus tanpa hikmah sering membawa kepada komunikasi yang tegang. — Gambar hiasan
"Kajian psikologi keluarga juga menunjukkan, konflik berulang tanpa penyelesaian akan menghakis 'akaun bank emosi' dalam perkahwinan.
"Namun, perbezaan itu bukan alasan untuk berpecah jika pasangan mengamalkan adab khilaf.
"Imam al-Nawawi pernah menegaskan bahawa khilaf ijtihadi adalah perkara yang diraikan dan umat tidak boleh bermusuhan hanya kerana perbezaan pandangan dalam urusan duniawi," jelasnya.
Tambah beliau, dalam Islam, ketaatan isteri kepada suami hanya pada perkara ma’ruf iaitu kebaikan.
"Politik moden termasuk dalam urusan ijtihadiyah, bukan kewajipan qat’ie.
"Oleh itu, isteri tidak berdosa jika memilih parti atau calon yang berbeza, asalkan perbezaan itu disampaikan dengan adab dan tidak disertai penghinaan," tegasnya.
Beliau turut memetik satu hadis dalam Kitab al-Adab al-Mufrad yang bermaksud:
“Bukanlah orang beriman yang baik, mereka yang suka menghina dan melaknat.” (Hadis Riwayat Bukhari)
Jelasnya, hadis ini menjadi peringatan buat umat Islam agar perbezaan politik tidak menjerumuskan pasangan ke lembah hilang hormat dan menyakiti hati.
Selain itu, beliau memberitahu, suami tidak boleh memaksa isteri untuk mengundi parti tertentu sebagai kewajipan agama.
"Ketaatan dalam rumah tangga hanya pada perkara ma’ruf, bukan pada arahan politik semata-mata.
"Jika isteri menolak arahan politik yang tidak disetujuinya, ia dibenarkan selagi disampaikan dengan hikmah dan tidak disertai penghinaan," katanya lagi.
Mengulas lanjut, Ustaz Ahmad Fahmi berkata, fenomena paling membimbangkan ialah wujud pihak yang berani mengajar agar suami isteri bercerai hanya kerana berbeza fahaman politik.
"Tindakan ini jelas bertentangan dengan maqasid syariah.
“Perceraian tanpa sebab syarie adalah perbuatan zalim yang merosakkan institusi keluarga dan mendatangkan murka ALLAH SWT,” ujarnya mengingatkan kata-kata daripada Imam al-Ghazali.
Suami isteri perlu berdiskusi dalam keadaan tenang dan tanpa emosi. — Gambar hiasan
Maka, menghasut perceraian kerana politik bererti meletakkan nafsu di atas agama, memecah-belahkan keluarga Muslim demi perkara dunia yang fana.
Bagi suami isteri yang aktif di kem politik berbeza, risiko pergolakan rumah tangga memang lebih tinggi.
Antara tip yang digariskan Ustaz Ahmad Fahmi:
1. Pisahkan politik daripada ruang rumah tangga
– Jangan jadikan meja makan atau bilik tidur sebagai medan debat politik.
2. Berbincang pada waktu yang sesuai
– Jika ingin berdialog, lakukan dengan tenang tanpa emosi.
3. Hormati pendirian pasangan
– Jangan memaksa mereka berpindah kem, sebaliknya saling mendoakan kebaikan antara satu sama lain.
Beliau turut mengingatkan kata-kata Imam Hasan al-Basri kepada seorang lelaki yang berselisih pandangan fiqh dengan isterinya:
“Perselisihanmu bukan di masjid, tetapi di hati. Peliharalah hati itu agar rumahmu tetap tenteram.”
Dalam pada itu, Ustaz Ahmad Fahmi menekankan perpecahan politik di rumah boleh memberi kesan berterusan kepada anak-anak.
"Jika mereka melihat ibu bapa saling menghina kerana politik, mereka akan mewarisi budaya kebencian dan fanatik buta.
"Justeru, cara terbaik mendidik anak menghadapi perbezaan politik ialah dengan menjelaskan bahawa politik hanyalah urusan ijtihadi, bukan soal aqidah.
"Pilihan parti atau pemimpin bukan penentu iman dan kufur," katanya.
Ujarnya lagi, anak-anak perlu dibiasakan dengan adab berbeza pandangan seperti berbicara dengan tenang, tidak menghina dan menilai pemimpin berdasarkan akhlak serta integriti, bukan semata-mata populariti.
Malah, katanya hukum syarak sangat jelas iaitu perbezaan politik bukan sebab sah perceraian.
"Ia hanya menjadi fitnah jika membawa kepada penderhakaan nyata atau hilangnya mawaddah sehingga menzalimi pasangan.
"Rumah tangga retak bukan kerana parti yang berbeza, tetapi kerana akhlak yang longgar dan pengurusan konflik yang gagal," tegasnya.
Menutup perbincangan, Ustaz Ahmad Fahmi membawa pesan agar rumah tangga Muslim mesti diikat dengan taqwa dan kasih sayang, bukan taksub yang membakar rahmah.
"Politik hanyalah alat duniawi yang sentiasa berubah.
"Jangan sampai rumah yang dibina dengan kasih menjadi neraka kerana taksub dunia yang fana. Politik akan berubah, tetapi luka hati keluarga kekal di sisi ALLAH," ungkapnya penuh makna. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti diTwitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram