Ambil kredit, sembunyi maklumat antara tanda rakan sekerja iri hati, ini cara tangani krisis pejabat secara diplomasi


  • Sihat
  • Sabtu, 09 Ogos 2025

Rakan sekerja anda mungkin memperlekeh dan mengata anda di tempat kerja, tapi anda tak perlu menanggungnya dalam diam

PASARAN kerja hari ini memang mencabar dan tekanan itu boleh mencetuskan persaingan sengit dalam kalangan pekerja, termasuk rakan sepejabat anda sendiri.

Jika ada rakan sekerja yang gemar mengkritik secara terbuka, memperlekehkan hasil kerja anda atau sengaja menjauhkan diri, mungkin itu bukan sekadar kebetulan.

Ia boleh jadi petanda mereka berasa terancam atau cemburu dengan keupayaan anda.

Walaupun situasi sebegini boleh jadi tidak selesa, mengenal pasti tanda-tandanya lebih awal dan tahu cara mengatasinya boleh menjadikan suasana kerja lebih tenang dan terkawal setiap hari.

BACA LAGI: Berselingkuh dengan rakan pejabat ibarat cinta 'Romeo and Juliet', hubungan terlarang, tapi sukar putus — Pakar psikologi

BACA LAGI: Berkali-kali 'check' suiz seterika tutup atau tak, anda mungkin miliki 7 sifat ini tanpa sedar

5 tanda rakan sekerja rasa terancam

1.⁠ ⁠Mereka menjauhkan diri 

Ada sesetengah individu yang memang pendiam secara semula jadi, tetapi jika seseorang sengaja mengabaikan anda semasa anda menegur atau tidak mengajak menyertai perbincangan atau acara sosial, itu mungkin usaha untuk menjarakkan hubungan. Tujuannya? Untuk menjatuhkan keyakinan dan mengubah persepsi orang lain terhadap anda.

2.⁠ ⁠Usaha mensabotaj kerja 

Rakan sekerja yang iri hati mungkin sengaja menyembunyikan maklumat penting yang anda perlukan. Dalam tugasan harian, mereka mungkin terlalu mengawal anda secara mikro atau memberikan kerja yang terlalu mudah atau terlalu mencabar, semuanya demi membuatkan anda kelihatan kurang berupaya.

3.⁠ ⁠Terlalu suka bersaing

Sedikit persaingan sihat boleh mendorong prestasi lebih baik. Tapi kalau seseorang itu suka membandingkan dirinya dengan anda dalam semua aspek – dari hasil kerja sehinggalah ke makanan, gaya hidup, atau kereta yang anda pandu – itu tanda jelas mereka rasa tergugat.

4.⁠  Komen sinis atau mengkritik secara terbuka

Jika mereka gemar menunjukkan kesalahan anda di depan orang lain atau memberi komen sinis yang menyakitkan hati, itu cubaan untuk merendahkan kemampuan anda. Mereka juga mungkin bercakap di belakang anda, menyebarkan gosip atau mengadu domba kepada bos tanpa sebab yang kukuh.

5.⁠ ⁠Ambil kredit atas usaha anda

Salah satu bentuk sabotaj paling halus ialah apabila mereka mengaku usaha atau idea anda sebagai milik mereka. Contohnya, mereka umumkan idea anda sebelum anda sempat bersuara, atau letakkan nama mereka pada laporan yang anda siapkan sendiri.

Cara menangani situasi

Lihat dari perspektif berbeza. Jika seseorang mengambil kredit atas kerja anda, anggaplah ia sebagai 'pujian yang tersembunyi'. 

Dalam erti kata lain, mereka cukup terkesan dengan pencapaian anda, sehingga mahu mendakwa ia milik mereka.

Namun begitu, anda tetap perlu bertindak kerana ini boleh menjejaskan peluang perkembangan profesional anda.

Cuba fahami apa punca sebenar dan tetapkan batas. Orang yang suka menjatuhkan biasanya sedang berjuang dengan rasa takut dan kurang yakin dalam diri sendiri.

Cuba fahami situasi mereka dan berikan pujian kecil supaya perasaan cemburu boleh dikurangkan, sekaligus membuka ruang untuk memperbaiki komunikasi.

Jika tingkah laku mereka melampau atau menjurus kepada pembulian, ini masa untuk berbincang secara profesional dengan penyelia atau ketua jabatan anda.

Jika tiada perubahan, anda boleh terus bawa isu ini kepada Jabatan Sumber Manusia (HR) untuk tindakan lanjut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram