Telur gred khas diperkenal, harga lebih munasabah untuk rakyat


  • Massa
  • Khamis, 31 Jul 2025

KPKM akan memperkenalkan telur gred khas dengan harga lebih berpatutan kepada rakyat. — Gambar hiasan

KEMENTERIAN Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan memperkenalkan telur gred khas pada harga yang lebih berpatutan bagi manfaat rakyat.

Dalam satu kenyataan media pada Khamis, KPKM memaklumkan bahawa langkah ini diambil sebagai usaha segera untuk memastikan keterjaminan bekalan dan kestabilan harga telur ayam di pasaran.

“Sebagai inisiatif segera untuk memastikan keterjaminan bekalan dan kestabilan harga telur ayam, pihak industri bersetuju untuk memperkenalkan telur gred khas yang akan ditawarkan pada harga yang lebih berpatutan.

BACA LAGI: NFA tak bermakna kes serangan asid Faisal Halim tidak boleh disiasat lagi — Azalina

BACA LAGI: [VIDEO] Oprah Winfrey buka laluan persendirian, bantu penduduk Hawaii berlindung ancaman tsunami

“Rakyat juga boleh mendapatkan telur ayam dengan harga kompetitif melalui program Jualan Agro Madani dan Jualan Rahmah yang dilaksanakan secara meluas di seluruh negara, termasuk di premis jualan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP),” katanya.

Tambah KPKM, kerajaan membuat keputusan berkenaan setelah mengambil kira keyakinan terhadap keupayaan pihak industri dalam memastikan pengeluaran telur ayam yang stabil dan mencukupi.

Bagi tempoh Februari 2022 hingga Disember 2024, kerajaan telah membelanjakan hampir RM2.5 bilion bagi menampung subsidi telur ayam terutama ketika krisis pandemik dan gangguan rantaian bekalan global.

Bagaimanapun ketika ini, ekoran pasaran yang semakin stabil, subsidi telur akan disusun semula agar lebih menyeluruh dan berfokus.

“Langkah penstrukturan semula ini merupakan sebahagian daripada usaha Kerajaan untuk mengoptimumkan perbelanjaan subsidi, iaitu penjimatan yang dijana akan disalurkan semula kepada program-program kesejahteraan rakyat yang selari dengan nilai-nilai teras Malaysia Madani.

“Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) juga akan terus memperkukuh penguatkuasaan melalui pemantauan rapi di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (AKHAP 2011) bagi membanteras sebarang bentuk pencatutan atau manipulasi harga oleh pihak tidak bertanggungjawab,” katanya lagi.

Langkah itu penting bagi memastikan harga yang dikenakan kepada pengguna kekal berpatutan dan adil.

Kerajaan Madani juga jelas KPKM sentiasa mendengar denyut nadi rakyat dan akan terus melaksanakan dasar-dasar yang mengutamakan kesejahteraan semua lapisan masyarakat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram