
DALAM masyarakat yang memandang perkahwinan sebagai perlindungan, ada kisah yang mencalar keyakinan kita terhadap institusi itu.
Omar H. Rizal, seorang menantu yang selama ini memerhati dalam diam, akhirnya bersuara.
Bukan untuk dirinya, tetapi untuk ibu mentuanya yang didakwanya telah dikurung, diasingkan dan dikawal oleh suaminya sendiri sejak hampir satu dekad lalu.
BACA LAGI: DJ hijabis dari Ipoh, Miko Naiko mula tawan pentas muzik antarabangsa
Wanita itu bernama Afiza, 50, masih sihat serta waras.
Namun sejak 2015, kehidupannya mula terasing daripada dunia luar.
Tiada telefon dan juga pelawat kerana dilarang untuk keluar rumah sendiri.
Meskipun sudah mengawal segalanya, si suami pula membuang isterinya ke pusat jagaan warga emas walaupun beliau bukanlah di penghujung usia.
Malah tiada diagnosis sah yang membuktikan beliau tidak mampu menguruskan diri.
"Kalau orang telefon dan tanya Puan Afiza ada tak, mereka akan kata tak ada," kata beliau dalam satu rakaman yang dirakam oleh Omar.
Bila ditanya kenapa begitu, jawapannya hanya satu: "Ayah suruh."
Ayah yang dimaksudkan ialah suaminya sendiri.
Penderaan terhadap Afiza tidak semestinya dalam bentuk fizikal yang meninggalkan lebam.
Kadang-kadang ia datang dalam bentuk sunyi yang dipaksakan, kawalan melampau dan penghinaan halus yang berterusan.
Dalam rumah sendiri, beliau makan apa yang tersisa.
Kadang-kadang cuma roti atau biskut, sementara orang lain dihidangkan lauk panas.
"Berapa lama awak rasa macam ni?" tanya Omar.
"Sejak saya berada di sini," jawab Afiza perlahan.
"Sejak dulu lagi."
Dalam perbualan tersebut, beliau menjelaskan bahawa tidak tahu apa berlaku terhadap harta dan aset dirinya.
"Saya ada duit. Tapi saya tak tahu di mana. Saya tak kawal duit saya."
Beliau juga mengakui telah dipaksa menandatangani dokumen poligami yang beliau sendiri tidak setuju.
"Saya tak mahu tandatangan. Tapi dia bawa saya ke pejabat agama," katanya.
Perpisahan daripada keluarga sendiri berlaku secara sistematik.
Bila ditanya sama ada beliau mahu bertemu keluarganya, beliau menjawab ringkas: "Ya."
Tapi jawapan itu tidak mencukupi untuk membuka semula pintu hubungan.
Suaminya sudah membuang beliau daripada keluarganya sendiri dan perkara itu diteruskan hingga ke hari ini.
Paling menyayat hati, dalam satu pertemuan terakhir bersama anak perempuannya, Afiza menangis.
Bukan kerana gembira, tetapi kerana beliau tahu itu mungkin kali terakhir akan melihat anak kandung dan cucunya yang baru dilahirkan.
Ketika ingin membuat laporan polis tentang keadaannya, suaminya sekali lagi menghalang dengan alasan bahawa beliau tidak waras.
Tiada bukti perubatan, pengesahan rasmi dan semua itu hanya dakwaan semata-mata.
"Adakah awak stabil dari segi mental?" soal Omar.
"Ya," jawabnya tanpa ragu.
"Awak setuju rakaman ini dibuat?"
“Ya."
Namun semua itu tidak mencukupi untuk memberi beliau kebebasan.
Undang-undang tetap menyebelahi si suami selagi status perkahwinan itu kekal dan selagi wanita itu tidak mampu membuktikan sebaliknya melalui saluran undang-undang yang memakan masa, wang dan tenaga.
Omar mendedahkan bahawa ketika kejadian itu berlaku, si suami dengan sinis bertanya di hadapan pihak polis:
"Kenapa anak-anak nak jaga mak mereka? Sebab harta?"
Tiada siapa menyebut soal harta tetapi yang dibangkitkan hanyalah penderitaan seorang wanita dikhianati oleh orang yang sepatutnya melindunginya.
Kenyataan itu, menurut Omar, mendedahkan lebih banyak tentang niat sebenar si suami bukan sebagai penjaga, tetapi sebagai pengawal mutlak terhadap hidup dan maruah isteri.
"Saya pun tak peluk anak-anak saya," kata Afiza dalam rakaman tersebut.
"Sejak bila?"
"Sejak saya di sini."
Omar menutup perkongsiannya dengan satu kenyataan yang tegas:
"Ugutlah saya seberapa banyak pun. Keadilan tetap nombor satu." — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram