[VIDEO] Pelajar sekolah di Kajang pukul guru angkara ditegur ponteng kelas


  • Tular
  • Rabu, 30 Jul 2025

Tangkap layar kejadian membabitkan seorang pelajar dan guru di sebuah sekolah menengah kebangsaan di Kajang, semalam.

SEORANG pelajar lelaki berusia 14 tahun ditahan polis selepas didakwa menumbuk dan mengugut gurunya hanya kerana ditegur ponteng kelas Pendidikan Jasmani di sebuah sekolah menengah di daerah Kajang, Selangor.

Insiden tersebut dipercayai berlaku baru-baru ini dan telah tular di media sosial selepas dimuat naik akaun Facebook,Penang Press dengan kapsyen menyindir 'jika tiada hormat kepada guru, hidup pasti kecundang tanpa ilmu'.

Menerusi video berdurasi 39 saat itu menunjukkan berlaku pergelutan antara pelajar berkenaan dengan seorang guru lelaki sebelum remaja terbabit dilihat menumbuk muka individu tersebut.

BACA LAGI: Mayat budak 6 tahun ditanam dalam belukar, polis rampas cangkul digunakan bapa

BACA LAGI: Bekas pengetua nafi terbabit kes Zara Qairina, beri sokongan penuh kepada polis

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima laporan daripada guru lelaki berusia 29 tahun tersebut kira-kira pukul 7.15 malam.

"Hasil siasatan mendapati kejadian berpunca selepas pelajar tersebut didapati ponteng kelas Pendidikan Jasmani dan sepatutnya berada di padang ketika itu.

"Pelajar terbabit telah ditegur oleh pengadu menyebabkan suspek tidak berpuas hati," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Naazron berkata, suspek kemudian bergelut dengan pengadu sehingga mula mengugut dan menumbuk muka mangsa yang disaksikan oleh beberapa guru dan pelajar lain.

Katanya, bertindak atas maklumat, polis menahan seorang remaja lelaki berusia 14 tahun dan suspek direman selama dua hari bagi membantu siasatan.

Jelasnya, kes disiasat di bawah Seksyen 323 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

"Kertas siasatan telah dirujuk ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya (TPR) dan suspek akan dituduh di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan di Mahkamah Majistret Kajang pada pukul 9 pagi, Rabu.

"Mana-mana individu yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian boleh menghubungi Pegawai Penyiasat kes Inspektor Mohd. Amirul Abd Wahab di talian 013-5495236," ujarnya.  — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram