
PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat tidak tunduk kepada tekanan kuasa besar seperti Amerika Syarikat (AS) atau China dalam menangani krisis sempadan antara Kemboja dan Thailand.
Sebaliknya, beliau mempergunakan pengaruh kedua-dua negara itu secara strategik kerana mereka mempunyai kepentingan besar di rantau ini, khususnya terhadap dua negara bertelagah yang terlibat.
Geostrategis dan Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Profesor Dr. Azmi Hassan berkata, sebagai pengerusi perbincangan genjatan senjata, Anwar mengambil langkah proaktif dengan melibatkan AS dan China dalam proses rundingan, menunjukkan pendekatan diplomatik berlapis.
BACA LAGI: Putrajaya jadi saksi, PM Anwar umum Thailand, Kemboja setuju laksana gencatan senjata
BACA LAGI: Krisis Thai-Kemboja: Mesyuarat khas berjaya, gencatan senjata serta-merta — PM Anwar
Azmi berkata, Malaysia tidak berkepentingan secara langsung dalam konflik Thai-Kemboja, menjadikannya mediator ideal yang tidak bias.
"Malaysia tidak hanya duduk sebagai pengantara, tetapi juga berada dalam 'driver's seat', memimpin ke arah perbincangan.
"Pengaruh China dan Rusia juga dilihat penting dalam membentuk sokongan terhadap kerangka rundingan ini. Maka, campur tangan kuasa besar bukan sahaja tidak dielak, malah diperlukan dalam konteks ini selagi Malaysia kekal sebagai pihak utama yang menentukan haluan rundingan," katanya kepada Majoriti.
Bagi menambah keyakinan, Azmi berkata, Perdana Menteri juga bersedia menghantar pasukan peninjau bagi memastikan perjanjian dipatuhi oleh kedua-dua pihak.
Ini bukan langkah baharu, memandangkan Malaysia pernah menghantar pasukan peninjau ke Mindanao dan Lubnan dalam misi serupa.
Malah Malaysia dipilih sebagai mediator kerana telah beberapa kali menjadi pemudah cara konflik serantau dengan rekod baik.
"Sebagai contoh, Malaysia sebelum ini menjadi pemudah cara yang memainkan peranan penting dalam Perjanjian Damai Bangsamoro (Konflik Mindanao) (Filipina-MILF), selain menjadi fasilitator Konflik Selatan Thai (Narathiwat, Pattani) sejak zaman Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi hingga kini.
"Malaysia tidak berkepentingan secara langsung dalam konflik Thai-Kemboja, menjadikannya mediator ideal yang tidak bias.
"Ini memberikan keyakinan kepada negara-negara yang terlibat bahawa Malaysia boleh memainkan peranan yang adil dan neutral," katanya.
Mekanisme pelaksanaan genjatan senjata masih belum dimuktamadkan oleh Menteri Luar dari tiga negara iaitu Malaysia, Kemboja dan Thailand. — Gambar hiasan/Agensi
Sementara itu, mengulas mengenai insiden serangan kecil dari arah Kemboja beberapa jam selepas pengumuman genjatan senjata dibuat, Azmi menyifatkan ia belum dikira sebagai pelanggaran rundingan.
Ini kerana, menurutnya, mekanisme pelaksanaan genjatan senjata masih belum dimuktamadkan oleh Menteri Luar dari tiga negara iaitu Malaysia, Kemboja dan Thailand.
"Satu mekanisme bagaimana genjatan senjata ini perlu dituruti masih belum lagi dibincang serta diperhalusi ketiga-tiga negara.
"Jadi saya melihat insiden itu adalah hiccup sahaja...bukan nak dikatakan bahawa telah gagal ataupun dicerobohi genjatan senjata ini.
"Cuma framework atau kerangkanya belum lagi diputuskan oleh Menteri-Menteri Luar yang terlibat," katanya.
Apapun spekulasi yang timbul atau tohmahan kurang berasas kepada Perdana Menteri ketika ini, Azmi menyifatkan Malaysia membuktikan bahawa kekuatan sebenar dalam diplomasi bukan bergantung kepada saiz atau kuasa ketenteraan, tetapi kepada kebijaksanaan rundingan.
"Anwar dan Malaysia kini berada dalam posisi strategik untuk memainkan peranan lebih besar dalam diplomasi serantau dan antarabangsa," ujarnya.
Pada Isnin, Thailand dan Kemboja bersetuju untuk melaksanakan gencatan senjata bermula tengah malam bagi memberi laluan rundingan damai yang berlangsung di Putrajaya.
Mesyuarat berkenaan dipengerusikan oleh Anwar selaku Pengerusi Asean dan turut dihadiri oleh Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet serta Pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram