
ORANG ramai dinasihatkan agar lebih berwaspada terhadap taktik penipuan yang mempergunakan nama bantuan kerajaan seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) serta menyalahgunakan nama peruncit terkenal seperti MYDIN bagi mengaburi mangsa.
Pengarah Urusan MYDIN, Datuk Wira Dr Ameer Ali Mydin mendedahkan bahawa pihaknya menerima maklumat mengenai kewujudan individu tidak bertanggungjawab yang menyamar sebagai wakil pihak berkuasa atau syarikat tertentu bagi tujuan penipuan.
BACA LAGI: SARA RM100: Beras, minyak masak dan detergen dalam 'list', cek barangan boleh dibeli
BACA LAGI: SARA untuk semua, rakyat 18 tahun ke atas terima RM100
“Penipuan itu biasanya berlaku menerusi mesej atau pautan palsu yang dihantar melalui aplikasi komunikasi peribadi seperti WhatsApp, SMS atau media sosial.
“Saya ingin menegaskan bahawa tiada pasar raya atau peruncit yang terlibat secara langsung dalam pengagihan STR melalui mana-mana platform komunikasi peribadi,” katanya dalam satu kenyataan.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan tidak berkongsi maklumat peribadi atau perbankan dengan individu yang tidak dikenali serta tidak mengklik sebarang pautan mencurigakan yang menjanjikan bantuan kewangan.
Pengarah Urusan MYDIN, Datuk Wira Dr Ameer Ali Mydin.
"Semak kesahihan maklumat melalui saluran rasmi seperti laman web Kementerian Kewangan di https://bantuantunai.hasil.gov.my," ujarnya.
Ameer yang juga Penasihat Persatuan Peruncitan Bumiputera turut menyeru masyarakat agar lebih berwaspada dan tidak mudah percaya dengan sebarang mesej atau tawaran yang meragukan.
"MYDIN sentiasa komited menyokong usaha kerajaan dalam membantu rakyat. Namun, pada masa yang sama, masyarakat perlu dilindungi daripada menjadi mangsa penipuan yang semakin berleluasa," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram