
MEDIA sosial kini menjadi pentas utama kehidupan, apa sahaja yang dimuat naik boleh menjadi bahan bualan.
Tidak kira sama ada untuk dipuji, dikritik mahupun dikecam, lebih-lebih lagi apabila melibatkan isu pendidikan dan cara mendidik anak.
Orang ramai akan memberikan reaksi apabila merasakan ada sesuatu melampaui batas adab dan nilai.
BACA LAGI: DJ hijabis dari Ipoh, Miko Naiko mula tawan pentas muzik antarabangsa
Baru-baru ini, penyanyi Arrora Salwa mencetuskan kontroversi apabila berkongsi sebuah video di akaun TikTok miliknya memaparkan dirinya memarahi anak tiri berusia 15 tahun, Ahmed Eshan Ahmed Mahfuz, kerana tidak menyiapkan kerja sekolah selepas bercuti hampir sebulan.
Namun, apa yang benar-benar mengejutkan ramai adalah tindakan Arrora yang dilihat melemparkan buku-buku milik remaja tersebut dengan nada marah dan kecewa.
Perkara itu mendapat perhatian pelbagai pihak termasuklah seorang pengguna di platform Threads yang dikenali sebagai Raja Faraa.
Wanita itu menyuarakan rasa tidak setuju dengan perlakuan tersebut, beliau menegur keras tindakan Arrora yang dianggap sebagai tidak beradab dan memperlekehkan nilai ilmu.
"Kepada 'ibu tiri' atau apa sahaja gelaran yang kamu banggakan itu, tolong ada sedikit adab! Kamu tidak sepatutnya mencampak buku belajar hanya kerana marah.
"Itu ilmu! Sesuatu yang baik. Kalau kamu mahu kekal dalam kejahilan, silakan, tetapi jangan seret orang lain ke dalam kejahilan kamu. Jangan hina apa yang kami pernah perjuangkan untuk dapatkan.
"Kamu panggil itu tanggungjawab? Tidak sekali-kali. Itu hanyalah tindakan yang cuai. Sepatutnya kamu yang dicampak, bukan bukunya. Dari seorang wanita kepada seorang wanita: Malulah kamu!," luahnya di Threads.
Bukan hanya Faraa, beberapa pengguna media sosial lain turut meluahkan rasa tidak puas hati terhadap tindakan Arrora, terutama apabila rakaman video itu dipercayai sengaja dibuat dan dimuat naik sendiri oleh beliau.
Nadia Natrah Sabli menulis: "Saya tak boleh bayangkan, kamu tekan butang rakam, panggil anak dan buat begini, kemudian tekan balik butang untuk hentikan rakaman. Selepas itu berhenti semak buku sebab nak sunting dan muat naik video."
Manakala Pengiran Noorhisham Pengiran Samsudine pula berkata: "Dia boleh campak sesuka hati, tapi untuk apa dirakam? Itu soalan bernilai sejuta ringgit. Selepas campak buku, dia pandang kamera dengan muka bangga."
Seorang lagi, Hoshi Akarui, tidak menyembunyikan rasa marahnya apabila menyifatkan Arrora sebagai 'ibu tiri dari neraka' dan memberi peringatan keras bahawa perbuatan seperti itu boleh meninggalkan kesan psikologi kepada remaja yang sedang membesar.
"Ibu tiri dari neraka, tolong pulang ke tempat asal kamu. Jangan hancurkan pemikiran anak hanya kerana kamu mahukan perhatian. Tapi saya yakin, kalau anak tiri kamu belajar apa-apa dari perangai kamu, dia tidak akan tinggal di situ lagi dan dia juga tidak akan mahu selamatkan kamu di akhirat nanti."
Insiden itu sekali lagi membangkitkan persoalan penting sejauh manakah batas seseorang dewasa dalam mendisiplinkan anak, apatah lagi anak tiri, terutama apabila ia melibatkan penghinaan terhadap sumber ilmu?
Masyarakat mungkin terbuka untuk menilai niat seseorang, tetapi cara dan perlakuan tetap menjadi cermin kepada akhlak dan tanggungjawab sebenar. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram